Rabu, 8 Disember 2010

PANTUN KETUANAN MELAYU



Ikan sepat ikan puyu
Dua jenis ikan darat
Mari bincang "Ketuanan Melayu"
Biarlah selamat di Hari Akhirat

Dua jenis ikan darat
Mudah membiak dalam sawah
Biarlah selamat di Hari Akhirat
Dengan membantu kegiatan dakwah

Mudah membiak dalam sawah
Sambil padi tumbuh menghijau
Dengan membantu kegiatan dakwah
Pihak berkuasa tidak mengacau

Sambil padi tumbuh menghijau
Lintah bergerak mencari mangsa
Pihak berkuasa tidak mengacau
Melalui dakwah selamatlah bangsa

Lintah bergerak mencari mangsa
Menggigit betis petani muda
Melalui dakwah selamatlah bangsa
Bila ilmu penuh di dada

Mengigit betis petani muda
Disedari bila sampai di rumah
Bila ilmu penuh di dada
Menyedarkan rakyat melalui ceramah

Disedari bila sampai di rumah
Perut lintah penuh darah
Menyedarkan rakyat melalui dakwah
Tentang pentingnya peristiwa hijrah

Perut lintah penuh darah
Darah daripada petani miskin
Tentang pentingnya peristiwa hijrah
Imanlah yang menjadi pemangkin

Darah daripada petani miskin
Bacalah 'Ranjau Sepanjang Jalan'
Imanlah yang menjadi pemangkin
Amal soleh menjadi bekalan

Bacalah 'Ranjau Sepanjang Jalan'
Cerita tentang kemiskinan petani
Amal soleh menjadi bekalan
Berkata benar pula berani

Cerita tentang kemiskinan petani
Nobel terkenal Shahnon Ahmad
Berkata benar pula berani
Baru rejim penzalim tamat

Nobel terkenal Shahnon Ahmad
Dijadikan pula sebuah filem
Baru rejim penzalim tamat
Bila ramai Melayu "alim"

Dijadikan pula sebuah filem
Sarimah Ahmad pelakon utama
Bila ramai Melayu "alim"
Membangun agama tugas bersama

Sarimah Ahmad pelakon utama
Berjemur panas para pelakon
Membangun agama tugas bersama
Perlu bekerja dengan tekun

Berjemur panas para pelakon
Dalam bendang penuh pacat
Perlu bekerja dengan tekun
Kemajuan bangsa tidak terancat

Dalam bendang penuh pacat
Biasa bagi para petani
Kemajuan bangsa tidak terancat
Bila wujud masyarakat madani

Biasa bagi para petani
Berjemur panas setiap hari
Bila wujud masyarakat madani
Baru mudah muhasabah diri

Berjemur panas setiap hari
Basah kuyup kena hujan
Baru mudah muhasabah diri
Sanggup hadapi berbagai ujian

Basah kuyup kena hujan
Dihadapi dengan penuh kesabaran
Sanggup menghadapi berbagai ujian
Daripada Al-Quran ambil pelajaran

Dihadapi dengan penuh kesabaran
Setiap pemimpin berjiwa rakyat
Daripada Al-Quran ambil pelajaran
Baru Melayu panjang hayat

Setiap pemimpin berjiwa rakyat
Ingat ikrar dalam solat
Baru Melayu panjang hayat
Bila pemimpin tidak mengelat


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Muharram1432/Dis2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan