Sabtu, 26 September 2015

PANTUN TETAP MUNDUR

Ular lidi di kebun jati
Tidak berbisa boleh disenda
Senyuman janda membawa erti
Tergores rasa didalam dada

Tidak berbisa boleh disenda
Berbeza dengan ular senduk
Tergores rasa didalam dada
Belajarlah agama secara pondok

Berbeza dengan ular senduk
Gigitannya boleh membawa mati
Belajarlah agama secara pondok
Banyakkan zikir kuatlah hati

Gigitannya boleh membawa mati
Berlaku kepada orang kampung
Banyakkan zikir kuatlah hati
Baru hasrat penzalim dikepung

Berlaku kepada orang kampung
Mudah percaya cakap penguasa
Baru hasrat penzalim dikepung
Sedar GST alat penyeksa

Mudah percaya cakap penguasa
Sejak lima puluh lapan tahun
Sedar GST alat penyeksa
Harga barang tak turun-turun

Sejak lima puluh lapan tahun
Bebas dari penjajah Inggeris
Harga barang tak turun-turun
Semacam redha parti keris

Bebas dari penjajah Inggeris
Penjawat Awam anak tempatan
Semacam redha parti keris
Dianggap BRIM sebagai pendapatan

Penjawat Awam anak tempatan
Ramai dari kalangan Melayu
Dianggap BRIM sebagai pendapatan
Ragu pula kepada wahyu

Ramai dari kalangan Melayu
Cuai bila solat berjemaah
Ragu pula kepada wahyu
Dapat pimpinan yang rasuah

Cuai bila solat berjemaah
Kuliah Maghrib juga dijauhi
Dapat pimpinan yang rasuah
Setiap saat dimurkai Ilahi

Kuliah Maghrib juga dijauhi
Solat Jumaat ramai tidur
Setiap saat dimurkai Ilahi
Ekonomi Melayu tetap mundur


HMS ABU BAKAR



Jumaat, 25 September 2015

PANTUN LAYANAN BIDADARI

Di celah kiambang berenang puyu
Dapat dikail masuk raga
Bunga kembang dikenang juga
Budi baik dikenang juga

Dapat dikail masuk raga
Bawa ke rumah masak gulai
Budi baik dikenang juga
Jaga iman janganlah lalai

Bawa ke rumah masak gulai
Masak lemak cili padi
Jaga iman janganlah lalai
Dari serangan budaya Yahudi

Masak lemak cili padi
Menjadi kegemaran orang Minang
Dari serangan budaya Yahudi
Tokeh judi saja menang

Menjadi kegemaran orang Minang
Banyak tinggal di kawasan Chemor
Tokeh judi saja menang
Hidup mereka sentiasa maamur

Banyak tinggal di kawasan Chemor
Orang Banjar di Bagan Serai
Hidup mereka sentiasa maamur
Bila berkahwin jarang bercerai

Orang Banjar di Bagan Serai
Pegangan agama cukup kuat
Bila berkahwin jarang bercerai
Kerja maaruf saja dibuat

Pegangan agama cukup kuat
Beramal pula dengan tekun
Kerja maaruf saja dibuat
Ikut syarat dan rukun

Beramal pula dengan tekun
Solat jemaah setiap waktu
Ikut syarat dan rukun
Dengan ilmu kerja pun bermutu

Solat jemaah setiap waktu
Dimulai dari solat maghrib
Dengan ilmu kerja pun bermutu
Kesan percaya yang ghaib

Dimulai dari solat maghrib
Balik ke rumah selepas isyak
Kesan percaya yang ghaib
Dapat pahala cukuplah banyak

Balik ke rumah selepas isyak
Makan malam bersama isteri
Dapat pahala cukuplah banyak
Menanti di akhirat layanan bidadari


HMS ABU BAKAR


Khamis, 24 September 2015

LIMA RUKUN PERPADUAN UMAT

Pertama:
Kesatuan Hati

Kedua:
Cintakan bangsa

Ketiga:
Mantap pendidikan

Keempat:
Memaksimumkan daya upaya manusia

Kelima:
Menghentikan pembaziran

Setelah mengetahui perkara ini
Bertindaklah dengan berani
Berdakwahlah ke sana ke sini
Akan lahirlah masyarakat madani


HMS ABU BAKAR


Rabu, 23 September 2015

PANTUN MANIS MUKA

Pisang kaki buah keranji
Di tepi kolah dekat sekolah
Semasa kecil diajar mengaji
Bila besar kurang masalah

Di tepi kolah dekat sekolah
Tempat murid-murid membasuh kaki
Bila besar kurang masalah
Jauh dari bersifat dengki

Tempat murid-murid membasuh kaki
Ini cerita zaman dahulu
Jauh dari bersifat dengki
Membuat maksiat terasa malu

Ini cerita zaman dahulu
Zaman sekarang ada pili
Membuat maksiat terasa malu
Kitab agama suka dibeli

Zaman sekarang ada pili
Mudah orang mengambil wudhuk
Kitab agama suka dibeli
Ustaznya pula bersifat tawadhuk

Mudah orang mengambil wudhuk
Inilah budaya Bilal Rasulullah
Ustaznya pula bersifat tawadhuk
Kepada kebenaran saja menyebelah

Inilah budaya Bilal Rasullullah
Nama penuhnya Bilal Bin Rabah
Kepada kebenaran saja menyebelah
Akhirnya kuasa Quarish rebah

Nama penuhnya Bilal Bin Rabah
Dikenali sebagai ahli syurga
Akhirnya kuasa Quarish rebah
Dengan Islam semuanya terjaga

Dikenali sebagai ahli syurga
Rasulullah tentu yang beritahu
Dengan Islam semuanya terjaga
Modal sebenarnya ialah wahyu

Rasulullah tentu yang beritahu
Orang beriman bahagia di akhirat
Modal sebenarnya ialah wahyu
Berjihadlah dengan sepenuh qudrat

Orang beriman bahagia di akhirat
Orang munafik dalam neraka
Berjihadlah dengan sepenuh qudrat
Susah pun masih manis muka

Orang munafik dalam neraka
Seksanya perit dan berkekalan
Susah pun masih manis muka
Inilah mukmin punya jalan


HMS ABU BAKAR


Selasa, 22 September 2015

PANTUN ANAK MAMI

Bantal berbalut kain baldu
Tidur malam bantal dibahu
Rakyat perlu besatu berpadu
Lakukan semasa minum air tauhu

Tidur malam bantal di bahu
Pengantin perempuan nyenyak tidur
Lakukan semasa minum air tauhu
Diwaktu ekonomi negara mundur

Pengantin perempuan nyenyak tidur
Dibangunkan suami yang beriman
Di waktu ekonomi negara mundur
Perlu dipimpin yang siuman

Dibangunkan suami yang beriman
Selepas mandi solat berjemaah
Perlu dipimpin yang siuman
Dibantu profesional yang bermaruah

Selepas mandi solat berjemaah
Hari pertama yang menyeronokan
Dibantu profesional yang bermaruah
Mudah ekonomi negara dipulihkan

Hari pertama yang menyeronokan
Berbulan madu di Pulau Pinang
Mudah ekonomi negara dipulihkan
Mencari rezeki rakyat pun senang

Berbulan madu di Pulau Pinang
Cuba makan nasi kandar
Mencari rezeki raykat pun senang
Dengan kerajaan tempat bersandar

Cuba makan nasi kandar
DiPulau Pinang memang istimewa
Dengan kerajaan tempat bersandar
Baru rakyat tidak kecewa

Di Pulau Pinang memang istimewa
Dikuasai oleh golongan mamak
Baru rakyat tidak kecewa
Dapat ilmu dari ulamak

Dikuasai oleh golongan mamak
Ramai beristerikan orang Melayu
Dapat ilmu dari ulamak
Sumber utama ialah wahyu

Ramai beristerikan orang Melayu
Keturunannya digelar anak mami
Sumber utama ialah wahyu
Bahasa Tamil susah dibasmi

Keturunannya digelar anak mami
Badan montel otak pun cerdik
Bahasa Tamil susah dibasmi
Umur pula tidaklah pendek


HMS ABU BAKAR



Isnin, 21 September 2015

PANTUN ILMU DI DADA

Dari mana hendak ke mana
Dari kebun mencangkul tanah
Golongan perasuah tetap dihina
Jauh dari sifat mut’mainah

Dari kebun mencangkul tanah
Tanam ubi dan pisang
Jauh dari sifat mut’mainah
Mengamalkan pula budaya songsang

Tanam ubi dan pisang
Mudah tumbuh tanpa baja
Mengamalkan pula budaya songsang
Hendak nama bila bekerja

Mudah tumbuh tanpa baja
Contoh terbaik pokok buluh
Hendak nama bila bekerja
Bila dikritik cepat mengeluh

Contoh terbaik pokok buluh
Ditiup angin daunnya bergoyang
Bila dikritik cepat mengeluh
Dari kroni mengharap kasih sayang

Ditiup angin daunnya bergoyang
Tempat lebah membuat sarang
Dari kroni mengharap kasih sayang
Derma wang dilakukan jarang-jarang

Tempat lebah membuat sarang
Diambil petani semua madunya
Derma wang dilakukan jarang-jarang
Akhirnya rakyat kurang percaya

Diambil petani semua madunya
Bawa ke bandar terus dijual
Akhirnya rakyat kurang percaya
Ketokohannya sekarang mulai disoal

Bawa ke bandar terus dijual
Dapat duit infakkan sebahagiannya
Ketokohannya sekarang mulai disoal
Mungkin negara dalam bahaya

Dapat duit infakkan sebahagiannya
Bakinya buat modal berniaga
Mungkin negara dalam bahaya
Tentu rugi ramai keluarga

Bakinya buat modal berniaga
Buka restoran makanan barat
Tentu rugi ramai keluarga
Harap-harap selamat di akhirat

Buka restoran makanan barat
Makan ala-Thai tersedia ada
Harap-harap selamat di akhirat
Beramal dengan ilmu di dada


HMS ABU BAKAR


Ahad, 20 September 2015

PANTUN TERSUNGKUR SYAITAN

Tinggi sehasta benih kelapa
Tumbuh merata dipangkal titi
Manusia asobiyah mudah lupa
Menanti soalan bila mati

Tumbuh merata di pangkal titi
Tempat kanak-kanak mengail ikan
Menanti soalan bila mati
Cari ilmu dan amalkan

Tempat kanak-kanak mengail ikan
Dilakukan setiap hujung minggu
Cari ilmu dan amalkan
Kedatangan ustaz tetap ditunggu

Dilakukan setiap hujung minggu
Belajar Hadis dan Quran
Kedatangan ustaz tetap ditunggu
Dapat menambah ilmu pengetahuan

Belajar Hadis dan Quran
Perlu hanya ada kesungguhan
Dapat menambah ilmu pengetahuan
Pahala adalah kurniaan Tuhan

Perlu hanya ada kesungguhan
Istiqamah pula dalam tindakan
Pahala adalah kurniaan Tuhan
Azab neraka dapat dielakkan

Istiqamah pula dalam tindakan
Buat suruhan tinggalkan larangan
Azab neraka dapat dielakkan
Dalam syurga menanti kesenangan

Buat suruhan tinggalkan larangan
Dilakukan oleh umat beriman
Dalam syurga menanti kesenangan
Bidadari jelita jadi teman

Dilakukan oleh umat beriman
Dari dulu hingga sekarang
Bidadari jelita jadi teman
Tiada apa yang kurang

Dari dulu hingga sekarang
Alim ulama mengajar agama
Tiada apa yang kurang
Asasnya ialah erat kerjasama

Alim ulama mengajar agama
Membuka sekolah diseluruh nusantara
Asasnya ialah erat kerjasama
Kerja maaruf dibuat segera

Membuka sekolah diseluruh nusantara
Tok kenali di negeri Kelantan
Kerja maaruf dibuat segera
Dengannya tersungkur parti syaitan


HMS ABU BAKAR



Sabtu, 19 September 2015

PANTUN BERANI MENEGUR

Hangat berhujah didalam debat
Bertegang leher bertegang urat
Bersih 4.0 adalah ubat
Menumbang penzalim tentulah berat

Bertegang leher bertegang urat
Bila berbahas di Dewan Parlimen
Menumbang penzalim tentulah berat
Boleh dipikul pimpinan beriman

Bila berbahas di Dewan Parlimen
Banyak ahli di Dewan Rakyat
Boleh dipikul pimpinan beriman
Membela nasib golongan melarat

Banyak ahli di Dewan Rakyat
Sedikit pula di Dewan Negara
Membela nasib golongan melarat
Dosa pahala juga diambil kira

Sedikit pula di Dewan Negara
Semua ini mengikut Perlembagaan
Dosa pahala juga diambil kira
Inilah jalan menuju kejayaan

Semua ini mengikut Perlembagaan
Undang-undang tertinggi dalam negara
Inilah jalan menuju kejayaan
Kerja maaruf dibuat segera

Undang-undang tertinggi dalam negara
Berpandukan Suruhanjaya Lord Reid
Kerja maaruf dibuat segera
Cuba dihalangi Jin Ifrid

Berpandukan Suruhanjaya Lord Reid
Menghasilkan sebenarnya Perlembagaan Negara
Cuba dihalangi Jin Ifrid
Ikut Quran manusia terpelihara

Menghasilkan sebenarnya Perlembagaan Negara
Diguna pakai sejak Merdeka
Ikut Quran manusia terpelihara
Diakhirat terlepas azab neraka

Diguna pakai sejak Merdeka
Dari Tanah Melayu ke Malaysia
Diakhirat terlepas azab neraka
Beramal ibadat selagi berusia

Dari Tanah Melayu ke Malaysia
Ibu negara ialah Kuala Lumpur
Beramal ibadat selagi berusia
Dengan penzalim jangan bercampur

Ibu negara ialah Kuala Lumpur
Asalnya dalam negeri Selangor
Dengan penzalim jangan bercampur
Setiap kesilapan berani menegur


HMS ABU BAKAR



Jumaat, 18 September 2015

HARI DERMA SEDUNIA

Bila tiba 5 September setiap tahun
Ada perayaan
Sebagai hari Derma Sedunia
Istilah Islam ialah “infak”
Istilah Inggeris ialah “donation”
Walaupun satu sen
Lebih baik jika RM2.6 bilion
Ramai rakyat miskin boleh memohon
Dari harta Qarun
Bila agaknya nak turun
Turun harga barang-barang keperluan harian
Beras, gula dan tepung
Harapan orang kampung
Supaya harga minyak masak turun
Supaya harga ikan turun
Supaya harga sayur turun
Inilah harapan rakyat jelata
Mereka tak ada harta
Tapi ada cita-cita
Cita-cita mahu kerajaan bersih
Mahu Bersih 5.0
Mahu tukar yang lama
Inilah Harapan Baru
Di Hari Derma Sedunia ini
Rakyat terus berani
Berani melakukan perubahan
Terutama perubahan minda
Sedar dosa penzalim berganda-ganda
            Duduk termenung seorang janda
            Menanti pinangan jutawan segera
            Berkorbanlah golongan yang berada
            Terutama di Hari Derma Sedunia


HMS ABU BAKAR



Khamis, 17 September 2015

PANTUN SELAMATKAN NEGARA

Anak helang tumbuh bulu
Ada harapan terbang sendiri
Penerima rasuah muka tak malu
Duit berbilion siapa beri

Ada harapan terbang sendiri
Dari bukit agak tinggi
Duit berbilion siapa beri
Diakhirat nanti tentulah rugi

Dari bukit agak tinggi
Ibu helang membuat sarang
Diakhirat nanti tentulah rugi
Terutama pimpinan yang curang

Ibu helang membuat sarang
Diatas bukit keadaannya selamat
Terutama pimpinan yang curang
Menderita bila datang kiamat

Diatas bukit keadaannya selamat
Membiak helang sejak dulu
Menderita bila datang kiamat
Menerima pukulan bertalu-talu

Membiak helang sejak dulu
Ibu ayam menjadi mangsa
Menerima pukulan bertalu-talu
Bagi yang menyalahguna kuasa

Ibu ayam menjadi mangsa
Cuba menyorok dalam reban
Bagi yang menyalahguna kuasa
Rakyat bawahan jadi korban

Cuba menyorok dalam reban
Cara ayam menyelamatkan diri
Rakyat bawahan jadi korban
Kekayaan negara sanggup curi

Cara ayam menyelamatkan diri
Terlibat hanya ayam kampung
Kekayaan negara sanggup curi
Dengan GST cuba tampung

Terlibat hanya ayam kampung
Ayam daging berlainan pula
Dengan GST cuba tampung
BRIM hanya sebagai gula-gula

Ayam daging berlainan pula
Tiga bulan sedia sembelih
BRIM hanya sebagai gula-gula
Takut Putrajaya akan beralih

Tiga bulan sedia disembelih
Daging dijual dipasar raya
Takut Putrajaya akan beralih
Selamat negara dari bahaya


HMS ABU BAKAR