Jumaat, 11 September 2015

PANTUN BERUSAHA MENGGIGIT

Tanah gambut di hujung desa
Tanam halia dipagi hari
Ulama akhirat menabur jasa
Menghasilkan kitab penuh almari

Tanam halia di pagi hari
Tumbuh subur tanpa baja
Menghasilkan kitab penuh almari
Kerana Allah melakukan kerja

Tumbuh subur tanpa baja
Jenis buluh di antara contohnya
Kerana Allah melakukan kerja
Pahala banyak tanda berjaya

Jenis buluh di antara contohnya
Masak lemang sebelum Hariraya
Pahala banyak tanda berjaya
Beriman pula yang kaya-raya

Masak lemang sebelum Hariraya
Menjadi kebiasaan orang kampung
Beriman pula yang kaya-raya
Masalah kemiskinan mereka tampung

Menjadi kebiasaan orang kampung
Solat berjemaah setiap waktu
Masalah kemiskinan mereka tampung
Jadilah masyarakat disitu bersatu

Solat berjemaah setiap waktu
Dilakukan dari zaman dahulu
Jadilah masyarakat disitu bersatu
Menipu rakyat mereka malu

Dilakukan dari zaman dahulu
Bergotong royong di hari perkahwinan
Menipu rakyat mereka malu
Disinilah ulama memainkan peranan

Bergotong royong di hari perkahwinan
Dapat menjimat kos perbelanjaan
Disinilah ulama memainkan peranan
Dengan menyebarkan ilmu pengetahuan

Dapat menjimat kos perbelanjaan
Terutama nilai ringgit turun
Dengan menyebarkan ilmu pengetahuan
Sedar bahaya ekonomi Qarun

Terutama nilai ringgit turun
Punca utama banyak rasuah
Sedar bahaya ekonomi Qarun
Rakyat bawahan yang susah

Punca utama banyak rasuah
Terima hadiah berbilion ringgit
Rakyat bawahan yang susah
Bersih 4.0 berusaha menggigit


HMS ABU BAKAR





Tiada ulasan:

Catat Ulasan