Isnin, 21 Disember 2015

PANTUN PENYOKONG SYAITAN

Anak kera ke pokok sena
Gara-gara ternampak belibis
Ingat sementara belum kena
Jimat sementara sebelum habis

Gara-gara ternampak belibis
Jenis burung terbang berkawan
Jimat sementara sebelum habis
Syaitan itu sebenar-benar lawan

Jenis burung terbang berkawan
Minum air ditepi laut
Syaitan itu sebenar-benar lawan
Merosakkan aqidah ketika maut

Minum air ditepi laut
Datang burung berbagai jenis
Merosakkan aqidah ketika maut
Kuat iman semuanya manis

Datang burung berbagai jenis
Burung helang dari bukit
Kuat iman semuanya manis
Maksiat dulu jangan diungkit

Burung helang dari bukit
Menanti mangsa ayam sereban
Maksiat dulu jangan diungkit
Kerana islam sanggup berkorban

Menanti mangsa ayam sereban
Reban berada dalam pagar
Kerana islam sanggup berkorban
Dengan iman yang segar bugar

Reban berada dalam pagar
Dijaga siang dan malam
Dengan iman yang segar bugar
Melahirkan ramai pejuang islam

Dijaga siang dan malam
Dari bahaya binatang buas
Melahirkan ramai pejuang islam
Setiap waktu terasa puas

Dari bahaya binatang buas
Seperti harimau dan singa
Setiap waktu terasa puas
Inilah keadaan dalam syurga

Seperti harimau dan singa
Melihat rusa terus diburu
Inilah keadaan dalam syurga
Nikmat datang semuanya baru

Melihat rusa terus diburu
Suasana sebegini berlaku dihutan
Nikmat datang semuanya baru
Terliur mulut penyokong syaitan

HMS ABU BAKAR


Ahad, 20 Disember 2015

PANTUN DAPAT PAHALA

Cili padi lemak turi
Sayur peria goreng petutu
Akal budi mahkota diri
Jagalah ia sepanjang waktu

Sayur peria goreng petutu
Makanan biasa orang kampung
Jagalah ia sepanjang waktu
Baru maksiat dapat dikepung

Makanan biasa orang kampung
Ikan goreng sambal belacan
Baru maksiat dapat dikepung
Tapi berjudi tetap diadakan

Ikan goreng sambal belacan
Dicicah ulam petai serta jering
Tapi berjudi tetap diadakan
Ke tanah perkuburan dosa mengering

Dicicah ulam petai serta jering
Mudah didapati orang Asal
Ke tanah perkuburan dosa mengering
Dalam keadaan lama menyesal

Mudah didapati orang Asal
Banyak diPerak dan Pahang
Dalam keadaan lama menyesal
Dari jauh terasa bahang

Banyak diPerak dan Pahang
Kayu balak bermutu tinggi
Dari jauh terasa bahang
Selama-lamanya berkeadaan rugi

Kayu balak bermutu tinggi
Ada penebang secara haram
Selama-lamanya berkeadaan rugi
Melihat aktres naik geram

Ada penebang secara haram
Bawa keluar menggunakan lori
Melihat aktres naik geram
Seronok jika dijadikan isteri

Bawa keluar menggunakan lori
Ditahan Polis, lepas semula
Seronok jika dijadikan isteri
Atas katil pun dapat pahala

Ditahan Polis, lepas semula
Dari jauh kelihatan berbincang
Atas katil pun dapat pahala
Dalam gelap tapi telanjang

Dari jauh kelihatan berbincang
Pemandu lori terus beredar
Dalam gelap tapi telanjang
Azan subuh baru sedar


HMS ABU BAKAR



Sabtu, 19 Disember 2015

PANTUN NIKMAT SYURGA

Jangan disentuh sarang kerengga
Dihujung dahan kayu mati
Sudahlah jatuh dihimpit tangga
Mendapat kesusahan silih berganti

Dihujung dahan kayu mati
Hinggap seekor burung kelicap
Mendapat kesusahan silih berganti
Berakhlak pula bila berucap

Hinggap seekor burung kelicap
Nampak ulat terus dimakan
Berakhlak pula bila berucap
Suka dengan kerja-kerja kebajikan

Nampak ulat terus dimakan
Lepas itu terbang ke sawah
Suka dengan kerja-kerja kebajikan
Dalam hati membenci rasuah

Lepas itu terbang ke sawah
Makan padi sedang masak
Dalam hati membenci rasuah
Dibawah pimpinan tahan lasak

Makan padi sedang masak
Dituai dengan menggunakan mesin
Dibawah pimpinan tahan lasak
Cepat berdoa bila bersin

Dituai dengan menggunakan mesin
Perlu hanya bayar sewa
Cepat berdoa bila bersin
Ke akhirat pahala banyak dibawa

Perlu hanya bayar sewa
Hasil padi boleh dijual
Ke akhirat pahala banyak dibawa
Para pembeli tidak menyoal

Hasil padi boleh dijual
Harga pasaran sangat berpatutan
Para pembeli tidak menyoal
Bila betul timbangan dan sukatan

Harga pasaran sangat berpatutan
Disedari peniaga Pasar Malam
Bila betul timbangan dan sukatan
Berpahala disisi agama Islam

Disedari peniaga Pasar Malam
Pembeli datang murahnya harga
Berpahala disisi agama Islam
Diakhirat menanti nikmat syurga

Pembeli datang murahnya harga
Boleh beli berbagai benda
Diakhirat menanti nikmat syurga
Layani bidadari pula berganda-ganda


HMS ABU BAKAR


Jumaat, 18 Disember 2015

PANTUN MUHAMMAD AL-FATEH

Ambil galah jolok macang
Waktu petang mencari rotan
Timbul masalah baru bincang
Fitnah datang hasutan syaitan

Waktu petang mencari rotan
Tiba dirumah hampir maghrib
Fitnah datang hasutan syaitan
Diselamatkan oleh sahabat qarib

Tiba dirumah hampir maghrib
Selepas mandi solat berjemaah
Diselamatkan oleh sahabat qarib
Ini tanda manusia beramanah

Selepas mandi solat berjemaah
Balik ke rumah selepas isyak
Ini tanda manusia beramanah
Bila memimpin tentulah layak

Balik ke rumah selepas isyak
Singgah diwarung makan malam
Bila memimpin tentulah layak
Perwatakannya dipengaruh oleh Islam

Singgah diwarung makan malam
Habis makan balik ke rumah
Perwatakannya dipengaruh oleh Islam
Setiap tindakan ada hikmah

Habis makan balik ke rumah
Baca buku menjelang tidur
Setiap tindakan ada hikmah
Belum didesak sudah berundur

Baca buku menjelang tidur
Buku mengenai sejarah Islam
Belum didesak sudah berundur
Kesan ilmu tauhid mendalam

Buku mengenai sejarah Islam
Contoh terbaik Muhammad Al-Fateh
Kesan ilmu tauhid mendalam
Membantu umat tidak letih-letih

Contoh terbaik Muhammad Al-Fateh
Bandar Constantinopol beliau takluki
Membantu umat tidak letih-letih
Bebas dari perasaan dengki

Bandar Constantinopol beliau takluki
Dari pemerintahan Rom Timur
Bebas dari perasaan dengki
Berjihad sehingga habis umur

Dari pemerintahan Rom Timur
Istanbul jadi nama baru
Berjihad sehingga habis umur
Keredhaan Allah saja diburu


HMS ABU BAKAR


Khamis, 17 Disember 2015

PANTUN CUKUP LAYAK

Limau bali buah tembikai
Orang berniaga di Simpang Lima
Alah membeli menang memakai
Mahal harga tahannya lama

Orang berniaga di Simpang Lima
Dari pagi hingga petang
Mahal harga tahannya lama
Kena air dianggap pantang

Dari pagi hingga petang
Mencari rezeki dengan berniaga
Kena air dianggap pantang
Baru kesihatan dapat dijaga

Mencari rezeki dengan berniaga
Mewarisi dari nenek moyang
Baru kesihatan dapat dijaga
Betul aqidah kuatlah sembahyang

Mewarisi dari nenek moyang
Berkahwin dengan orang kampung
Betul aqidah kuatlah sembahyang
Baru mudah maksiat dikepung

Berkahwin dengan orang kampung
Belanja kenduri sangat berpatutan
Baru mudah maksiat dikepung
Sehingga termenung ketua syaitan

Belanja kenduri sangat berpatutan
Masak memasak secara kumpulan
Sehingga termenung ketua syaitan
Dengan ilmu tertutuplah jalan

Masak memasak secara kumpulan
Waktu zohor berhenti sebentar
Dengan ilmu tertutuplah jalan
Jadikan murid syaitan terketar-ketar

Waktu zohor berhenti sebentar
Bersolat pula secara berjemaah
Jadilah murid syaitan terketar-ketar
Ramainya orang dengar ceramah

Bersolat pula secara berjemaah
Selepas itu makan tengahari
Ramainya orang dengar ceramah
Kebenaran pula mudah dicari

Selepas itu makan tengahari
Lauk istimewa gulai tempoyak
Kebenaran pula mudah dicari
Pemimpinnya ternyata cukup layak

Lauk istimewa gulai tempoyak
Menjadi kegemaran orang Perak
Pemimpinnya ternyata cukup layak
Bertakbir pula menggantikan sorak


HMS ABU BAKAR



Rabu, 16 Disember 2015

PANTUN PENUNJUK JALAN

Ikan terubuk diberi jiran
Letak dimeja sama kubis
Sehabis habuk sehabis putaran
Selesai kerja wang pun habis

Letak dimeja sama kubis
Jadikan ulam sewaktu makan
Selesai kerja wang pun habis
Akhir bulan jumpa majikan

Jadikan ulam sewaktu makan
Ulam petai ulam pegaga
Akhir bulan jumpa majikan
Nasib pekerja terus dijaga

Ulam petai ulam pegaga
Menjadi kegemaran orang kampung
Nasib pekerja terus dijaga
Dengannya penyelewengan boleh dikepung

Menjadi kegemaran orang kampung
Makan gulai asam tempoyak
Dengannya penyelewengan boleh dikepung
Disebab pimpinan yang layak

Makan gulai asam tempoyak
Dari berbagai jenis ikan sungai
Disebab pimpinan yang layak
Menyelesaikan masalah yang pelbagai

Dari berbagai jenis ikan sungai
Baung dan ikan seluang
Menyelesaikan masalah yang pelbagai
Berkat pemimpin kuat sembahyang

Baung dan ikan seluang
Sedap masak gulai lemak
Berkat pemimpin kuat sembahyang
Taat kepada piminan ulamak

Sedap masak gulai lemak
Campur sedikit cili padi
Taat kepada pimpinan ulamak
Kerja maaruf semua menjadi

Campur sedikit cili padi
Memang terasa cukup pedas
Kerja maaruf semua menjadi
Minda pimpinan pula cerdas

Memang terasa cukup pedas
Digemari orang Negeri Sembilan
Minda pimpinan pula cerdas
Dijadikan Sunnah penunjuk jalan

Digemari orang Negeri Sembilan
Masakan pedas bila dimakan
Dijadikan Sunnah penunjuk jalan
Keupayaan Islam dapat dibuktikan


HMS ABU BAKAR



Selasa, 15 Disember 2015

PANTUN MUDAH DIBELI

Ikan siakap jamu menantu
Bawa ke bagan dengan perahu
Seperti kerakap tumbuh dibatu
Hidup segan mati tak mahu

Bawa ke bagan dengan perahu
Menanti peraih untuk membeli
Hidup segan mati tak mahu
Terima BRIM terus joli

Menanti peraih untuk membeli
Dapat duit beli gula
Terima BRIM terus joli
Buat kerja tak berpahala

Dapat duit beli gula
Sedar-sedar ada kencing manis
Buat kerja tak berpahala
Ulama akhirat dipandang sinis

Sedar-sedar ada kencing manis
Ramai rakyat Malaysia menghidapinya
Ulama akhirat dipandang sinis
Dengan muslihat kekal diPutrajaya

Ramai rakyat Malaysia menghidapinya
Dianggarkan ada empat juta
Dengan muslihat kekal diPutrajaya
Dapat hadiah bernilai ribuan juta

Dianggarkan ada empat juta
Pengidap rasmi penyakit diabetes
Dapat hadiah bernilai ribuan juta
Boleh berseronok dengan Artis

Pengidap rasmi penyakit diabetes
Makan gula cara berlebihan
Boleh berseronok dengan Artis
Di luar negara boleh berdua-duaan

Makan gula cara berlebihan
Riadhah pula tidak dibuat
Di luar negara boleh berdua-duaan
Pejabat agama tidak lihat

Riadhah pula tidak dibuat
Puasa sunat jarang sekali
Pejabat agama tidak lihat
Di mana-mana kondom mudah dibeli

Puasa sunat jarang sekali
Solat malam tidak terjaga
Di mana-mana kondom mudah dibeli
Kehamilan mengejut dapat dijaga

Solat malam tidak terjaga
Tidur lambat menonton sukan
Kehamilan mengejut dapat dijaga
Kerja maksiat boleh diteruskan


HMS ABU BAKAR


Isnin, 14 Disember 2015

PANTUN MENGHADAPI MAUT

Lemak keladi paku rawan
Gerut-gerut sayur kundur
Jangan jadi seperti haiwan
Kenyang perut terus tidur

Gerut-gerut sayur kundur
Buat masak gulai lemak
Kenyang perut terus tidur
Bangun solat digerakkan emak

Buat masak gulai lemak
Taruh cili padi baru pedas
Bagun solat digerakkan emak
Bila kentut batallah hadas

Taruh cili padi baru pedas
Campur kunyit nampak kuning
Bila kentut batallah hadas
Boleh hilang sakit pening

Campur kunyit nampak kuning
Biasa bagi masakan Melayu
Boleh hilang sakit pening
Bila ikut ajaran wahyu

Biasa bagi masakan Melayu
Masuk kunyit dan asam jawa
Bila ikut ajaran wahyu
Ke akhirat banyak pahala dibawa

Masuk kunyit dan asam jawa
Baru gulai terasa sedap
Ke akhirat banyak pahala dibawa
Gagal syaitan nak mengendap

Baru gulai terasa sedap
Makan tengahari bersama keluarga
Gagal syaitan nak mengendap
Orang beriman dijamin syurga

Makan tengahari bersama keluarga
Dikedai mamak di Bandar Ipoh
Orang beriman dijamin syurga
Rancangan syaitan terus lumpuh

Dikedai mamak di Bandar Ipoh
Ada Nasi Arab Hadaramaut
Rancangan syaitan terus lumpuh
Berzikir umat menghadapi maut

Ada nasi Arab Hadaramaut
Harganya pula sangat berpatutan
Berzikir umat menghadapai maut
Putus asalah golongan syaitan

Harganya pula sangat berpatutan
Masakannya pula terasa enak
Putus asalah golongan syaitan
K-pop sengaja dijadikan denak


HMS ABU BAKAR


Ahad, 13 Disember 2015

PANTUN DAPAT UPAH

Perah santan letak di para
Kerana lantai sedang dikumbah
Tiada lautan yang bergelora
Tiada pantai yang tak berubah

Kerana lantai sedang dikumbah
Tumpah air dari baldi
Tiada pantai yang tak berubah
Ulamak akhirat tetap berbudi

Tumpah air dari baldi
Bawa air dari perigi
Ulamak akhirat tetap berbudi
Orang sekular menanggung rugi

Bawa air dari perigi
Musim kemarau tiada kering
Orang sekular menanggung rugi
Membantah kerana otaknya mering

Musim kemarau tiada kering
Air bergerak dalam tanah
Membantah kerana otaknya mering
Bila berkuasa tak beramanah

Air bergerak dalam tanah
Telaga zam-zam sebagai contoh
Bila berkuasa tak beramanah
Sampai masa akan jatuh

Telaga zam-zam sebagai contoh
Mengalir sejak Nabi Ibrahim
Sampai masa akan jatuh
Bukan ditangan puak ekstrim

Mengalir sejak Nabi Ibrahim
Berlaku di sekitar Masjidil Haram
Bukan ditangan puak ekstrim
Harga naik rakyat pun geram

Berlaku disekitar Masjidil Haram
DiMekah dinegeri Arab Saudi
Harga naik rakyat pun geram
Atasi nasib dengan berjudi

Di Mekah di negeri Arab Saudi
Tempat umat mengerjakan haji
Atasi nasib dengan berjudi
Sedar perbuatan itu keji

Tempat umat mengerjakan haji
Kemuncaknya berada di Padang Arafah
Sedar perbuatan itu keji
Dibuat kerana dapat upah

Kemuncaknya berada di Padang Arafah
Berjuta-juta umat berpakaian ikhram
Dibuat kerana dapat upah
Walaupun menyokong penzalim itu haram


HMS ABU BAKAR