Khamis, 17 Disember 2015

PANTUN CUKUP LAYAK

Limau bali buah tembikai
Orang berniaga di Simpang Lima
Alah membeli menang memakai
Mahal harga tahannya lama

Orang berniaga di Simpang Lima
Dari pagi hingga petang
Mahal harga tahannya lama
Kena air dianggap pantang

Dari pagi hingga petang
Mencari rezeki dengan berniaga
Kena air dianggap pantang
Baru kesihatan dapat dijaga

Mencari rezeki dengan berniaga
Mewarisi dari nenek moyang
Baru kesihatan dapat dijaga
Betul aqidah kuatlah sembahyang

Mewarisi dari nenek moyang
Berkahwin dengan orang kampung
Betul aqidah kuatlah sembahyang
Baru mudah maksiat dikepung

Berkahwin dengan orang kampung
Belanja kenduri sangat berpatutan
Baru mudah maksiat dikepung
Sehingga termenung ketua syaitan

Belanja kenduri sangat berpatutan
Masak memasak secara kumpulan
Sehingga termenung ketua syaitan
Dengan ilmu tertutuplah jalan

Masak memasak secara kumpulan
Waktu zohor berhenti sebentar
Dengan ilmu tertutuplah jalan
Jadikan murid syaitan terketar-ketar

Waktu zohor berhenti sebentar
Bersolat pula secara berjemaah
Jadilah murid syaitan terketar-ketar
Ramainya orang dengar ceramah

Bersolat pula secara berjemaah
Selepas itu makan tengahari
Ramainya orang dengar ceramah
Kebenaran pula mudah dicari

Selepas itu makan tengahari
Lauk istimewa gulai tempoyak
Kebenaran pula mudah dicari
Pemimpinnya ternyata cukup layak

Lauk istimewa gulai tempoyak
Menjadi kegemaran orang Perak
Pemimpinnya ternyata cukup layak
Bertakbir pula menggantikan sorak


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan