Selasa, 25 Ogos 2015

PANTUN SAHABAT QARIB

Beli peria tiga biji
Masak kari ikan pelata
Pemimpin zalim suka dipuji
Dengan kuasa kumpul harta

Masak kari ikan pelata
Beri sepinggan kepada jiran
Dengan kuasa kumpul harta
Dari Qarun ambil pelajaran

Beri sepinggan kepada jiran
Tangan menerima mulut bercakap
Dari Qarun ambil pelajaran
Menipu timbangan cukup cekap

Tangan menerima mulut bercakap
Dalam hati ingatkan Allah
Menipu timbangan cukup cekap
Di sisi agama tetap salah

Dalam hati iingatkan Allah
Ini budaya ahli sufi
Di sisi agama tetap salah
Di akhirat masalah terus menanti

Ini budaya ahli sufi
Puasa sunat di hari panas
Di akhirat masalah terus menanti
Bertaubat selagi ada nafas

Puasa sunat di hari panas
Selang seli setiap hari
Bertaubat selagi ada nafas
Jadikan ilmu perlengkap diri

Selang seli setiap hari
Isnin dan juga Khamis
Jadikan ilmu perlengkap diri
Menderma bila jumpa pengemis

Isnin dan juga Khamis
Puasa sunat setiap minggu
Menderma bila jumpa pengemis
Dapat pahala tidaklah ragu

Puasa sunat setiap minggu
Sewaktu berbuka makan kurma
Dapat pahala tidaklah ragu
Berbuat baik disuruh agama

Sewaktu berbuka makan kurma
Minum air elok juga
Berbuat baik disuruh agama
Diakhirat Allah sediakan syurga

Minum air elok juga
Selepas berbuka solat Maghrib
Di akhirat Allah sediakan syurga
Ulamak dijadikan sahabat qarib


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan