Jumaat, 31 Mei 2013

CITA-CITA ORANG YANG SEMBAHYANG


Setiap cita-cita itu baik
Selepas itu ditanamkan niat
Selepas berniat terus buat
Buat suruhan agama
Tinggal larangan Islam
Bermunajat di waktu malam
Asasnya ilmu kalam
Awal-awal agama mengenal Allah
Sedia menghadapi apa-apa masalah
Dengan iman musuhpun kalah
Ambil wudhuk dari kolah
Kolah ada di tepi madrasah
Bila tipu seteru pun kalah
Boleh berterusan amalkan rasuah
Hidup keluargapun mewah
Susah kehidupan orang bawah
Inilah budaya asabiyah
Meredhai yang bersalah
Asalkan dari sesama kabilah
Inilah amalan zaman jahiliah
Membesarkan keturunan
Menyokong yang mungkar
Menanti untuk dibakar
Membetulkannya kerja yang sukar
Ilmu perlu disebar
Melalui majlis-majlis ilmu
Kebenaran akan bertemu
Beramal tidak jemu-jemu
Pahala bertambah-tambah
Bila keadaan berubah
Kesan berhadapan Kaabah
Sertai rombongan mengerjakan umrah
Terus berhijrah
Meninggalkan fahaman asobiyah
Ikut aqidah
Ahli Sunnah Wal Jemaah
Kesan solat berjemaah
Kesan dengar kuliah
Tercapai cita-cita orang yang bersembahyang
Allah dan Rasul dia sayang


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Rejab1434/Mei2013

 

Khamis, 30 Mei 2013

TAUBAT NASUHA



Selagi digelar manusia
Selagi itulah ada melakukan dosa
Seperti menyalahguna kuasa
Seperti tipu pilihanraya
Seperti menerima rasuah
Sedar bahaya bila masuk tanah
Di antara sifat-sifat Nabi ialah beramanah
Kedua ialah benar
Benar pada perkataan
Berani berkata benar
Tipu pilihanraya itu benar
Semua rakyat tahu
Yang terlibat lebih-lebih lagi tahu
Malangnya muka tak malu
Dengan duit gelap mata orang Melayu
Dipropagandakan oleh media massa
Lupa sumpahan masa
”Demi masa sesungguhnya manusia itu
berada didalam kerugian”
Tentu yang cinta keduniaan
Tentu yang berpenyakit wahan
Cinta dunia dan takut mati
Lupa akhirat kerana parti
Dalam keadaan begini; datang mimpi
Berada di dalam keadaan gelap gelita
Dengan suara yang mengerikan
Bila terbangun dari tidur
Kedengaran suara azan; terus berwudhuk
Terus solat taubat; terus solat subuh berjemaah
Terus dengar kuliah subuh
Ustaz bersyarah tentang taubat
Katanya taubat dengan Allah ada tiga syarat
Pertama: Meninggalkan maksiat
Kedua: Menyesal di atas kesalahan
Ketiga: Berjanji tidak akan melakukan lagi
Bagi kesalahan dengan manusia
Perlulah meminta maaf
Dengan orang yang dizalimi itu
Inilah jalan untuk bersatu
Waktu malam keluar kalkatu
Melihat cahaya terus terkam
Betul aqidah jalan bersatu
Lepas itu ikut hukum hakam


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Rejab1434/Mei2013


 

Rabu, 29 Mei 2013

PANTUN TIPUDAYA




1        Air surut membalik pasang
                   Pasang sampai pagi hari
          Dengan ilmu jiwa terangsang
                   Keredhaan Allah mudah dicari

2        Padi ditanam di tepi huma
                   Makan ayam kelabu siantan
          Kuasa penzalim nampak lama
                   Setiap tindakan dinasihati Syaitan

3        Batang ramunia ditimpa tengar
                   Patah galah timpa lantai
          Buta hati pengikut tegar
                   Ditipu pimpinan yang santai

4        Buah cempedak masak bergantung
                   Petik makan masak layu
          Pejuang beriman tetap beruntung
                   Bertindak ikut ajaran wahyu

5        Ikan gelama dimasak lada
                   Makanan anak pagi hari
          Buat baik berpada-pada
                   Buat jahat tetap dihindari

6        Tetak papan dibuat sampan
                   Singgah di darat menjerat rusa
          Orang beriman menaruh harapan
                   Sampai masa tetap berkuasa

7        Ikan putih berkawan-kawan
                   Nampak teluk disangka perigi
          Setiap saat perlu berlawan
                   Baru di akhirat tidak rugi

8        Seorang pukul seorang menarik
                   Suara sampai di pintu kota
          Menentang kezaliman tidak serik-serik
                   Yang syahid di akhirat bersukacita

9        Masak nasi di periuk kecil
                   Nasinya keluar berbingkah-bingkah
          Jemaah kebenaran tidak terpencil
                   Menentang hantu-hantu yang membongkah

10      Orang berzikir darinya hulu
                   Berhenti sebentar minum kopi
          Kerajaan minoriti muka tak malu
                   Kepentingan majoriti cuba ketepi

11      Pisau kecil hulunya gading
                   Bila diasah nampak berkilat
          Terus menipu semasa bertanding
                   Dapat dosa bila mengelat

12      Bunga sena di daun dedap
                   Jatuh sekuntum di tepi paya
          Bila menipu terasa sedap
                   Tidak bermakna pegang Putrajaya




HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Rejab1434/Mei2013

 

Selasa, 28 Mei 2013

PANTUN PENYAKIT SEMPUT




1        Pohon kerakap di atas batu
                   Singgah menghinggap silayang-layang
          Di atas kebenaran mudah bersatu
                   Berteras rasa kasih sayang

2        Seorang berbelat seorang berlukah
                   Dapat seekor ikan kaloi
          Bila mengundi salah pangkah
                   Masuk neraka tidak berbaloi

3        Jauh-jauh kapalnya datang
                   Pasang bendera di atas tiang
          Setiap penipuan wajib ditentang
                   Dalam jemaah sama-sama berjuang

4        Lintah di laut makanan Cina
                   Lintah di sawah dibatang padi
          Masyarakat madani mari bina
                   Ulamak dan umarak menabur budi

5        Pisau raut memotong tebu
                   Kayu kering mudah terbakar
          Diberi duit Melayu kelabu
                   Hendak berubah sangatlah sukar

6        Naik gunung turun gunung
                   Batu di gunung ditumbuhi rumput
          Dalam penjara penzalim termenung
                   Datang pula penyakit semput

7        Rumah besar jendela kaca
                   Pecah kacanya tinggal kayunya
          Berita Internet rakyat baca
                   Penzalim menang dengan tipudaya




HMS Abu Bakar
paksalleh.blogspot.com
Rejab1434/Mei2013