Ahad, 31 Januari 2010

MELAYU GLOKAL

I

Melayu
Di taman-taman perumahan
Waktu Maghrib berkeliaran
Ayam sudah masuk reban
Bila kedengaran azan
Dari surau berdekatan
Berjemaah pahala berlebihan
Perlu hanya tunaikan
Subuh
Zohor
Asar
Maghrib & Isya'
Ke pasar malam bersesak-sesak
Pagi esok habis keluar bila berak

II

Melayu Glokal
Terhadap agama bersikap liberal
Perkara 121(1A) orang nak tanggal
Bukan dari puak-puak yang nakal
Dari barisan yang tak kekal
Nyawa manusia tak kekal
Aqiqah jadi modal
Ilmu agama jadi modal
Amal soleh jadi modal
Lepas itu baru tawakkal
Kepala Dajjal mudah penggal
Dengan iman usaha mereka gagal
Munkar Nakir pasti soal
Meraung yang korup
Meratap yang pecah amanah
Menangis yang anti Sunnah
Merana yang anti Rasulullah
Kecewa yang dekat rumah
Tak solat berjemaah
Di masjid yang tersergam indah
Di surau yang juga indah

III

Selesa di dunia
Menderita di akhirat

IV

Segeralah bertaubat
Ketepikan budaya barat
Ikut syariat
Dunia akhir pasti selamat


HMS Abu Bakar
Feb2006

Sabtu, 30 Januari 2010

PANTUN KUATNYA IMAN

Burung Tempua bersarang rendah
Ditiup angin terus bergoyang
Ikut jemaah banyak faedah
Sesama ahli berkasih sayang

Ditiup angin terus bergoyang
Angin datang dari utara
Sesama ahli berkasih sayang
Perintah Allah buat segera

Angin datang dari utara
Terasa nyaman duduk di rumah
Perintah Allah buat segera
Mengikut Imam yang beramanah

Terasa nyaman duduk di rumah
Bila beriman seluruh keluarga
Mengikut Imam yang beramanah
Mudah jalan menuju syurga

Bila beriman seluruh keluarga
Berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah
Mudah jalan menuju syurga
Bila mendapat jiwa mutmainah

Berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah
Dua pesaka tinggalan nabi
Bila mendapat jiwa mutmainah
Melakukan maaruf sebagai hobi

TANDA ANDA BODOH

Apa tanda orang bodoh
Bertindak ikut nafsu
Puak zalim dia ampu
Cari duit dengan menipu

Apa tanda orang bodoh
Mahu jadi AJK masjid
Mahu sekat majlis ilmu
Bila mati
Impikan syurga
Mahu bersantai dengan bidadari

UNGKU AZIZ

Riwayat hidupnya
Disiarkan Siasah
Dimuka tengah
Ungku Aziz
88 tahun umurnya
Terus membaca
Katanya
Telah membaca
70000 buku
Ibarat miang keladi
Makin tua makin menjadi

Profesor Diraja
Ungku Abdul Aziz
Berjasa kepada negara
Bebas berbicara
Puisi Jepun diminatinya
Puisi Parsi juga diminatinya

Pak Engku
Doa dariku
Semoga kuatkan iman
Semoga rajin baca Al-Quran
Bila ini dilakukan
Berserta amalan
Cerah masa hadapan

Bersiar-siar di waktu petang
Datang budak asyik menyakat
Fikiran Pak Ungku cukup matang
Jasamu dikenang oleh masyarakat.

Rabu, 27 Januari 2010

DALAM SESUATU

Dalam kerendahan hati
Ada ketinggian budi

eloklah peribadi
Bila ada ilmu pengenalan
Cerah sepanjang jalan
Bila banyak amalan
Bekalan hari kemudian

Dalam kemiskinan harta
Ada kekayaan jiwa
Dari zikrullah dapat cahaya
Beramal soleh sedaya upaya
Dalam kubur bersinar cahaya
Tanda yang berjaya

Dalam kesempitan hidup
Ada kekuasaan ilmu
Beramal tanpa jemu
Kebenaran pasti bertemu
Ada pada wahyu
Modal sebenar ketuanan Melayu
Solat berjemaah setiap wktu
Dengannya kita bersatu
Biar hidup rakyat bermutu

HARAPAN KELUARGA

Doa dari keluarga
Semoga masuk syurga
Dalam hati terasa curiga
Teringat amalannya
Semasa di dunia
Semasa berkuasa
Menggunakan ISA
Diseksa
Bukan lama
Enam puluh hari saja

Doa dari keluarga
Dihimpunkan dengan roh-roh orang soleh
Tarikh pendakwaan diolah
Air mata mangsa mengalir

Doa dari keluarga
Diselamatkan dari seksa kubur
Semasa di dunia cukup takbur
Di sana sini fitnah ditabur
Dibiarkan maksiat bertabur-tabur
Rasuah terus subur

Doa dari keluarga
Semoga dosa diampunkan
Semasa berkuasa harta haram dimakan
Mendedahkan aurat bila bersukan
Warga Mongolia dianiayakan
Disana sini diberitakan
Didakwa berpangkat sarjan
Dunia luar hairan
Punca kematian
Sakit kronik dikatakan

Doa dari keluarga
Diampunkan semua dosa
Dosa menentang makruf
Dosa mengerjakan mungkar
Api neraka tetap membakar

KEHIDUPAN BAHAGIA

Bahagia
Manusia inginkannya
Ada syaratnya
Hanya tiga

Pertama
Iman di dada
Kedua
Aman keadaannya
Ketiga
Sihat badannya

Bila iman kuat
Bila keadaan aman
Bila sihat walafiat
Mudah beribadat
Dengan niat suci
Rasuah dibenci
Selamat anak negeri
Keredhaan Allah yang dicari

KAWAN JADI LAWAN

Bila kawan jadi lawan
Biarkan

Bila kawan jadi lawan
Jangan hairan
Neraka dikelilingi kesenangan
Neraka dikelilingi keseronokan

Bila kawan jadi lawan
Senyum syaitan
Melihat kedurjanaan
Melihat kepura-puraan

Bila kawan jadi lawan
Baca saja Al-Quran
Bertemu banyak pengajaran
Di Uhud contoh terbaik
Melihat ghanimah hati terbalik
Suasana mendebarkan
Hampir-hampir ditewaskan
Saidina Hamzah menemui tuhan
Juga
Mus'aab bin Umair
Anas bin Nadhir
Lebih 70 sahabat syahid
Inilah kawan bermaruah
Inilah kawan beramanah
Pengkhianat pasti musnah

Ahad, 24 Januari 2010

SAHABAT

I

Sahabat yang beriman
Ibarat matahari bersinar
Kenyataan ini benar
Contoh terbaik Abu Bakar
Berhijrah bersama nabi
Mengharungi ujian
Yakin pertolongan
Tuhan

II

Sahabat yang setia
Sebagai pewangi yang mengharumkan
Sedia berkorban
Demi persahabatan
Bersatu menentang syaitan
Berlainan ideologi bukan bebanan
Kebenaran diutamakan
Harta halal saja dimakan
Rasuah hendaklah dijauhkan

III

Sahabat sejati
Menjadi pendorong impian
Mudah mencapai kejayaan
Contoh terbaik
Muhajirin dan Ansar

IV

Sahabat berhati mulia
Membawa kita ke jalan Allah
Di Badar musuh kalah
Di Constantinople musuh kalah
Sultan Muhammad Fateh kuat beribadah
Kebanggaan ummah
Muhammad bin Abdullah
Rasullullah

ORANG BIJAKSANA

I

Tanda orang bijaksana
Hatinya selalu berniat suci
Lidahnya selalu basah
Dengan zikrullah
Membesarkan Allah
Minima masalah

II

Tanda orang bijaksana
Matanya menangis
Kerana penyesalan
Kurang amalan
Masa lapang kehabisan
Melihat aktiviti sukan
Hadiahnya lumayan
Tiger Woods kemaruk perempuan
Isterinya balik ke Sweden
Buruk teladan
Dari kebudayaan Barat
Berkembang biak maksiat
Lupa ada hisab di akhirat

III

Tanda orang bijaksana
Sabar terhadap perkara yang dihadapi
Bertindak cukup rapi
Sedar bahaya api
Di akhirat nanti

IV

Tanda orang bijaksana
Mengutamakan akhirat berbanding dunia
Dunia hanya sementara
Gus Dur mengalaminya
Tok Mat begitu juga
Doa dari keluarga
Berada di syurga

NAFSU

I

Nafsu mengatakan wanita cantik
Di atas dasar rupanya
Orang tua terasa muda
Aktres terus menggoda
Duit pun ada
Ijabkabul akhirnya
Seronoknya

II

Akal mengatakan wanita cantik
Atas dasar ilmunya
Atas dasar kepandaiannya
Pada diri artis tidak jumpa
Melihat duit mudah lupa
Menderita bila jadi isteri kedua
Terasa diri tua

III

Hati mengatakan wanita cantik
Atas dasar akhlaknya
Hati yang dapat cahaya
Al-Quran sentiasa dibaca
Kuatlah jiwa
Berkorban apa sahaja
1 Malaysia slogan sahaja
Tahun baru naik harga gula
Salam Satu Malaysia tanpa pahala
Rugi masa

IV

Demi masa
Sesungguhnya manusia kerugian
Bila nafsu diutamakan
Bila duit jadi pertimbangan
Bila buat semua larangan
Syurga hanya tinggal kenangan

NASIB ORANG MELAYU

Hati-hati
Perbuatan kita tetap diawasi
Rugi yang korupsi
Rugi yang lupa Ilahi
Rugi yang cakap tak serupa bikin
Maklumat alternatif rakyat yakin
Mahu bantu rakyat miskin
Nilai Rm menurun
Rakyat berhadapan kos hidup tinggi
Cuba nasib dengan berjudi
Kedai judi di sana sini
Cabutan tiga kali seminggu
Menang jarang kalah selalu
Nasib orang Melayu
Ketuanya merapu
Hak rakyat disapu
Lupa Allah tahu
Bila mati bernyanyi
” Oh! Jangan tinggal daku”
Kubur pula sempit
Ular menggigit
Sakit...Sakit...Sakit

LIDAHMU

I

Lidahmu adalah bentengmu
Jika engkau menjaganya
Maka ia akan menjagamu
Ini tuntutan ilmu
Carilah jangan jemu-jemu
Beri ’salam ’ bila bertemu
Senyumlah selalu

II

Bila lidah dibiarkan
Bercakap tanpa ilmu
Dia tetap melupakanmu
Bila seksa kubur ragu-ragu
Bila kehidupan akhirat ragu-ragu
Maksiat dianggap madu
Dosa dianggap hinggapan lalat
Yang haram terasa lazat
Terkejut bila lihat malaikat
Tak berfaedah taubat
Semuanya terlambat
Neraka terlalu dekat

KELAZIMAN

Solat berjemaah
Mengaminkan selesai Al-Fatihah
Mohon kepada Allah
Tunjukilah kami jalan yang lurus
Masa perlu diurus
Iman perlu diurus
Infakkanlah fulus
Dari hasil usaha halal
Enjin hilang perlu disoal
Agen luar mana orang pangkat rendah kenal
Bapak rasuah semua kita kenal
Pembohong besar semua orang kenal
Jahil punya pasal
Fardhu ain tak mahu belajar
Kuliah maghrib tak mahu dengar
Ceramah agama tak mahu dengar
Bisikan syaitan saja dengar
Terus saja buat mungkar
Maksiat sudah berakar
Dalam Neraka pasti dibakar

BERKHIDMATLAH

Dengarlah
Firman Allah
Amalkanlah
Selesailah
Banyak masalah
Berguna bila berada dalam tanah
Banglo di duniapun musnah
Bangsawanpun musnah
Kecuali semasa hidup beramanah
Ikut Sunnah
Setiap waktu solat berjemaah
Eratkanlah ukhuwah
Memikirkan kebajikan orang bawah
Majoriti berkeadaan susah
Nilai RM rendah
Nilai wanita rendah
Bila rambut terdedah
Berbeza bila dapat hidayah
Yvonne Ridley
Wartawan Inggeris
Kecewa Iblis
Menutup aurat bila tukar agama
Islam pilihannya
Setelah dipenjara
Di Afghanistan yang bergelora
U.S.A punya angkara
Osama ben Laden masih bernyawa
Korban kemewahan hidup
Bersembunyi dalam gua
Turun ayat Quran pertama
Juga di gua
Bersusah payah Nabi kita
Berjihad sentiasa
Dengar cerita
Hebatnya Nabi kita
Berselawat ke atas Baginda

BANGKITLAH MELAYU

I

Bangkitlah Melayu
Mulai solat subuh berjemaah
Lepas itu dengar tazkirah
Baru minda cerah

II

Bangkitlah Melayu
Menentang PPSMI
Merosakkan bahasa ibunda
Sebelum jadi keranda

III

Bangkitlah Melayu
Dengan aqidah Islamiah
Dengan syariat Islam
Dengan akhlak Nabi
Dengan jihad Rasul

IV

Bangkitlah Melayu
Dengan iman sebenar
Berani bercakap benar
Tenggelamkan mungkar

V

Bangkitlah Melayu
Dengan semangat perpaduan
Semua rakyat Malaysia
Berbaik sesama manusia
Demi Negara tercinta


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com

Rabu, 20 Januari 2010

DIA KENAL

Bila anak raja jadi imam
Jadi makmum rakyat jelata
Tentu orang buka mata
Orang terus bercerita
Pucuk dicita ulam mendatang
Mudahlah maksiat ditentang
Bila kuliah agama anak raja datang
Datang dengan iman dan kerelaan
Keredhaan Allah dicari
Ini bukan teori
Di Kota Bharu terjadi
Pemangku sultan yang
Yakin dengan kuasa Allah
Yakin dengan pimpinan ulama
Ulama cintakan akhirat
Ulama berilmu
Ulama beramal
Ini pemangku sultan kenal

Bukit Segambut- Majlis Wacana Ilmu

Pada malam 18 Januari 2010, saya menghadiri majlis wacana ilmu di rumah Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bersama rakan, Mansor Mohamed. Kami sampai agak lewat sedikit kerana majlis telahpun bermula sebelum kehadiran kami. DSAI sendiri yang mengelolakan majlis. Khalid Samad, MP Shah Alam sedang berucap ketika itu. Beliau berhujah menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang membolehkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam kehidupan seharian. Saya dapati bahawa majoriti yang berucap membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh The Herald dan golongan bukan Islam. Tokoh yang saya kenali hadir pada malam tersebut ialah Dr. Mohd. Nor Manuty, Y.B Dato’ Ahmad Yaakob (TMB Kelantan), Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, YB Dato Kamarudin Jaafar, YB Zulkifli Nordin, YB Saifudin Nasution, Hanipa Maidin, dan YB Salahudin Ayub. Pujian perlu dilontarkan kepada DSAI kerana menjemput tokoh-tokoh agama untuk membincangkan isu kalimah Allah yang panas.

Pergi ke sawah menanam padi
     Tumbuh subur dalam sawah
Ketentuan Allah pasti terjadi
Semoga beriman dan istiqamah 

Selasa, 19 Januari 2010

I, TOO, AM MALAY. ZAID IBRAHIM


Saya beli buku ini semasa konvensyen PAKATAN RAKYAT di MBSA pada 19-12-2009.
Buku ini ada juga diterbitkan dalam bahasa melayu dengan judul SAYA PUN MELAYU.
Diterbitkan oleh ZI Publications SDN. BHD, buku ini sesuai dibaca oleh seluruh rakyat Malaysia terutama dari puak penyokong ketuanan Melayu. Saya tertarik dengan gaya penulisan Zaid Ibrahim yang pada mulanya saya anggap sebagai "UMNO totok"

Jumaat, 15 Januari 2010

GEMA PUISI DI PERAK DARUL RIDZUAN

Boleh dikatakan hampir setiap malam kedengaran puisi yang saya deklamasikan di masjid dan surau setelah tamatnya kuliah agama oleh Ustaz Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz di merata tempat di Perak Darul Ridzuan. Sejak tahun 2006 saya bersama Ustaz Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz menjelajah ke serata negeri Perak untuk berdakwah. Setelah selesai memberikan kuliah agama, beliau akan memberi laluan kepada saya untuk mendeklamasikan sajak mahupun puisi. Pada mulanya kebanyakkan AJK masjid dan surau kurang berminat dengan perlaksanaan puisi sebagai alat berdakwah namun setelah beberapa sesi, jemaah mula memberi respon yang baik terhadap pembacaan puisi di masjid mahupun surau. Saya sentiasa berusaha untuk menghasilkan puisi yang baik daripada sebelumnya untuk menarik lebih ramai peminat. Masjid Al-Aulia Tembok, Masjid Al-Ittihadiah, Kg. Tengku Hussein, Masjid INTIM, Masjid As-Syakirin, Kg. Tersusun Tasek dan Masjid Negeri, Ipoh merupakan antara tempat yang pernah menjadi platform untuk saya melontarkan pandangan melalui puisi di Ipoh. Saya juga selalu mendeklamasikan puisi-puisi saya di Surau Jalan Masyarakat, Silibin, Surau Al-Islamiyah Taman Meru 2C, Surau An-Nuriah 2B, Surau Meru Permai, Surau Al-Falah, Taman Chepor Indah, Surau Muhammadiah, JalanTiong, Masjid Lama Kg. Gajah, Masjid Al-Ridzuaniah, Kuala Kangsar, Masjid Lama, Kg Gelok, Lenggong, Masjid Kg Expo Kamunting, Masjid Setiawan, Masjid Jamek, Tapah dan Masjid Felda Gunung Besout 2.


PANTUN AWAL TAHUN 2010



Masak lemang gunakan buluh
Bila masak sedap dimakan
Selamat tahun dua ribu sepuluh
Semoga semua tugas ditunaikan


Buluh tumbuh di tepi bukit
Membiak subur tanpa baja
Biarpun harta hanya sedikit
Tapi Allah tetap dipuja


Bukit Gasing Bukit Melawati
Dua bukit di Negeri Selangor
Tanda hidup anda berkualiti
Melihat maksiat berani tegur


Negeri Selangor negeri maju
Sultannya ada darah Bugis
Bila tahu tempat dituju
Baru contohi Raja Balqis


Orang Bugis orang pelaut
Mengembara hingga ke tanah Melayu
Bila hati telah terpaut
Ikut saja kehendak wahyu


Laut tempat kapal berlayar
Mengangkut barang kesana kemari
Hutang Allah kena bayar
Dengan beramal setiap hari


Di sana sini kelihatan hijau
Warna merah diminati lembu
Aktiviti masjid munafik kacau
Maju Islam mereka cemburu


Lembu jantan lembu betina
Minat hanya makan rumput
Perasuah di akhirat pasti hina
Melihat Izrail jiwanya semput


Bila datang Malaikat Izrail
Menandakan nyawa manusia berakhir
Orang zalim pasti menggigil
Berdepan pencabut nyawa mahir

Semoga puisi kekal sebagai salah satu alat untuk berdakwah.

Ikan keli ikan puyu
Boleh membiak dalam sawah
Mudah bersatu dengan wahyu
Gunakan puisi untuk berdakwah

Rabu, 13 Januari 2010

HATI GELAP

I
Bila hati gelap
Berlakulah
Cakap tak serupa bikin
Berlakulah
Seperti ketam mengajar anak berjalan betul
Berlakulah
Seperti tikus membaiki labu

II
Bila hati tertutup
Berbaju hitam pun dicekup
Puasa sunat dimarahi
Mogok lapar juga dimarahi
Perompak kuasa pula dipuji
Lanun juga dipuji
Walaupun rakyat jelata rugi
Walaupun rakyat membenci


HMS Abu Bakar
Mei2009

DOA RAKYAT





I


Ku Li
Nama glamor Tengku Razaleigh Hamzah
Anak raja berjiwa rakyat
Mahu hak rakyat terjaga
Hasrat yang mulia
Baik memimpin negara
Bukan dengan BN
Boleh dengan PR


II


Ku Li
Berasal dari Kelantan
Elok ikut Pakatan
Tanpa fikirkan jawatan
Perlu sumbangan
Perlu memantapkan PR
Inilah harapan rakyat
Doa rakyat
Semoga Ku Li selamat
Dunia akhirat

KEINGINAN RAKYAT MALAYSIA





Kewajipan
Menyelamatkan negara
Kebajikan rakyat diambil kira
Kesamarataan diambil kira
Keadilan sosial diambil kira
Lima puluh tahun diambil kira
Keadaan semakin teruk
Perkhidmatan Awam dinodai
Diperalatkan oleh politikus
Ahli-ahli politik yang rakus
Dibiar negara hangus
Dibiar tinggal satu Malaysia
Berubah pada slogan saja
Dari B.C.A
Dari Islam Hadhari
Dari Satu Malaysia
Habisnya usia
Kubur menanti saja
Oleh itu mari bekerja
Dalam Pakatan Rakyat
Sedia berpakat
Betulkan niat
Menumbangkan pengkhianat
Di peringkat Pusat
Dengan pimpinan berbakat
Bebas dari budaya ikan lembat
Berbeza dengan ikan keli
Bila berkawan tetap setia
Bila ini ada pada P.R
Tentu rakyat sihat
Dunia hingga akhirat

SAJAK LAMA

BANGKITLAH MELAYU

I

Bangkitlah Melayu
Mulai solat subuh berjemaah
Lepas itu dengar tazkirah
Baru minda cerah

II

Bangkitlah Melayu
Menentang PPSMI
Merosakkan bahasa ibunda
Sebelum jadi keranda

III

Bangkitlah Melayu
Dengan aqidah Islamiah
Dengan syariat Islam
Dengan akhlak Nabi
Dengan jihad Rasul

IV

Bangkitlah Melayu
Dengan iman sebenar
Berani bercakap benar
Tenggelamkan mungkar

V

Bangkitlah Melayu
Dengan semangat perpaduan
Semua rakyat Malaysia
Berbaik sesama manusia
Demi Negara tercinta

DENGARLAH SAUDARAKU

I


Dengarlah
Fahamilah
Firman Allah
“ Dan tidak aku utuskan engkau, Ya Muhammad melainkan untuk membawa
Rahmat kesekalian alam”
Perlu ilmu untuk memahaminya
Banyaklah membaca
Setiap masa
Baru dapat cahaya
Orang munafik banyak dicerita
Nama Islam hati berbelah dua
Berlebihan cintakan dunia
Hanya sementara


II

z
Dengarlah
Dengan hati terbuka
Dengan cita-cita
Dengan usaha jitu
Dengan kerjasama
Islam untuk semua
Semua boleh ke syurga
Bila ikut Quran
Bila ikut Sunnah
Jauhi rasuah
Sentiasa beramanah
Dengarlah saudaraku

SLOGAN SAJA

I

Bila disebut slogan
Baru teringat Karl Marx
Melalui bukunya
Das Kapital
Menyatakan
”Agama itu candu”
Slogan ini disebarluaskan
Media massa digunakan
Seluruh dunia mendengarnya
Ada yang terpedaya
Lenin di Rusia
Mao Tze Tung di China
Chin Peng di Malaya
Slogan Chin Peng pula
“Inggeris musuh kita”
Abdullah Sidi percaya
Che Det gelarannya
Orang Sungai Perak
Dikata berjuang yang hak
Bersolat juga
Berpuasa juga
Berharap ke syurga
Tempat bahagia

II

Di negara kita
Diperkenalkan P.M ke 4
Slogan-slogan juga terdapat
Bersih; Cekap & Amanah
Pandang ke Timur
Wawasan 2020
Lupa janji ketika solat subuh
”sesungguhnya solatku; ibadatku;
hidupku dan matiku adalah untuk
Allah; Tuhan semesta alam’

Bagi kita
Umat Islam
Ada kalimah Tayibah
Allah; Tuhan kita
Nabi Muhammad pemimpin kita
Di akhirat bersukacita
Syarat utama
Aqidah ahli Sunnah wal Jemaah
Senantiasa benar
Cakap dan buat
Beramanah selalu
Berbaik-baik India; Cina
Iban; Kadazan dan Melayu
Bila bersatu
Lenyaplah slogan itu

KALIMAH

KALIMAH


I

Ada puak sibuk dengan kalimah
Bersedia menyokong perasuah-perasuah
Bersengkongkol dengan pemecah amanah
Berpaksikan nafsu amarah
Menjelma sifat marah-marah
Biar orang ramai susah
Biar negara bermasalah
Asalkan puaknya jangan kalah
Cemburu dengan kalimah Allah
Tindak tanduk zahir semuanya salah
Langgar saja hukum Allah
Inilah manusia hipokrit
Amal Islami begitu sedikit
Fikir hanya duit
Sebut kalimah hati tercuit
Hatinya penuh penyakit
Penyakit
Cinta dunia
Takut mati

II

Kanak kanak bermain atas titi
Jatuh seorang ke dalam parit
Setiap manusia pasti mati
Sakitnya adalah terlalu perit

KECURIAN

I
Mencuri telur ayam
Mencuri getah beku
Mencuri seluar dalam
Mencuri selipar
Mencuri pisang emas
Mencuri kuih di gerai
II
Setelah disiasat
Semua perlakunya berpangkat besar
Bergaji besar
Berjawatan tinggi
Negara pasti rugi
Rugi yang amat
Nilai harta yang hilang
RM 100
Nilai ini rendah
Bagi Bill Gates
Bagi Tiger Woods
III
Bila dibicarakan
Pendakwaraya bawa bukti kukuh
Peguambela didatangkan dari OIC
Keputusan
Perbicaraan
Dibebaskan semua pencuri
Rakyat mendiamkan diri
Keredhaan Allah tetap dicari

Selasa, 12 Januari 2010

DIA LUPA

Ada orang berkata
Puasa sunat awal bulan haram
Mogok lapar pun haram
Tapi dia lupa
Puasa sunat di awal bulan
Disuruh Nabi s.a.w
Puasa sunat tiga hari
Setiap bulan elok dilakukan
Boleh tengok hadis nabi
Jangan tengok duit saja
Dia lupa:di akhirat siapa raja?
Yang mogok lapar ialah non-muslim
Betulkah dia alim?
Semacam dia berpihak yang zalim
Dia lupa
Umur dia sudah lanjut
Dia lupa
Menanti saja Malaikat Maut
Dia lupa
Jawatan besar tak ikut
Dia lupa
Penyokong penzalim di akhirat papa
Dia lupa
Menyokong perompak itu dosa
Demi masa
Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian



HMS Abu Bakar
Mei2009

BERLAPAR ITU BAIK

Manusia
Mahu bahagia
Menghadapi ujian sentiasa
Menghadapinya dengan berpuasa
Mendekati yang Maha Esa
Mati bila-bila masa
Menyesal yang menyalahguna kuasa
Menyesal yang menzalimi manusia
Melawan penzalim tugas kita
Dengan berbagai cara
Ikut selera
Mogok lapar di antaranya
Membantah dengan jiwa
Dengan satu saja
Yang tertindas teruskan kerja
Kebajikan rakyat tugas utama
Teruskan kerjasama
Tanpa mengira bangsa
Semua ada perasaan
Semua mahu keadilan
Dalam pemerintahan
Mesti ikut perlembagaan
Buat suruhan tinggal larangan
Kewajiban setiap golongan
Rakyat jelata dan bangsawan
Menipu dilarang
Budaya golongan curang
Dilakukan pemimpin temberang
Tanda-tanda hendak tumbang
Di sana sini rakyat bersembang
Merancang.....merancang
Kumpulan prihatin terus berjuang
Mogok lapar cukup senang
Tak memerlukan wang
Puasa sunat awal bulan
Bulan ketetapan Tuhan
Bulan Jamadilakhir
Dengan maklumat rakyat berfikir
Berfikir dengan baik
Di Permatang Pauh
Di Kuala Terengganu
Di Bukit Selambau
Di Bukit Gantang
Jatuh mereka terlentang
Kezaliman rakyat tetap tentang
Penyalahguna kuasa rakyat tentang
Boleh bersatu dalam kelaparan
Dengan puasa sunat
Dengan mogok lapar
Jiwa marhaen tetap segar
Jiwa mustaz'afin membenci mungkar
Wadah perkauman pasti terbakar
Politik baru sedang mekar



HMS Abu Bakar
Mei2009

PANTUN MOGOK LAPAR

Pagi pagi elok berjalan
Mudah bila pakai selipar
Cuba jawab satu soalan
Berdosakah orang mogok lapar

Hari Isnin hari Selasa
Lepas Jumaat hari Sabtu
Rakyat jelata boleh berpuasa
Dengan kelaparan boleh bersatu

Waktu malam keluar kalkatu
Menyerbu ke arah cahaya lampu
Menentang penzalim kena bersatu
Terasa gerun golongan pengampu

Ikan pari ikan gelama
Sedap bila dimasak kari
Mogok lapar bukanlah lama
Yang penting ketahanan diri

Buah manggis buah durian
Boleh dibeli di pasar malam
Mogok lapar satu jalan
Supaya jiwa kuat di dalam


HMS Abu Bakar
Mei2009

ORANG ISLAM YANG MERDEKA

Orang Islam
Berada di seluruh dunia
Di Mongolia juga ada
Di Malaysia ada juga
Perompak pun ingin ke syurga
Lanun pun ingin ke syurga
Dengan membawa dosa
Dosa
Menzalimi rakyat jelata
ISA sebagai senjata
Rakyat dah buka mata
Kenal siapa pendusta
Di P.P jelas dan nyata
Di K.T jelas dan nyata
DI B.S jelas dan nyata
Di B.G jelas dan nyata
Kehebatan Nizar orang cerita
Mahkamah tinggi mengakuinya
M.B kesepuluh orang percaya
Dari mukanya keluar cahaya
Solat waktu berjemaah juga
Di mana
Rakyat sayangkan dia
Melayu,Cina dan India
Sayangkan Nizar
Berani bercakap benar di hadapan pembesar
Berani kerana benar
Inilah Nizar


HMS Abu Bakar
Mei2009

Isnin, 11 Januari 2010

TIGA BERITA

I

Berita satu
Dari Mahkamah Tinggi
Puak zalim rugi

II

Berita dua
Dari Mahkamah Rayuan
Golongan maaruf kesedihan
Ujian,cubaan
Dari Tuhan
Menguji keimanan
Bagi yang sabar
Pahalanya berlebihan
Perlu kesabaran
Menghadapi tindakan kehantuan
Dendam wanita
Dari utara Asia
Mati waktu muda
Kekasih kekasih mudah lupa
Menerpa
Dijiwa penuh kuasa
Izrail menanti saja

III

Berita ketiga
Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Harta dan pangkat membebankan
Menerima balasan
Menderita berpanjangan
Bagi hakim yang diperalatkan
Bagi penyokong kezaliman
Seperti kata bidalan
"ulat bulu panjat durian
Sedap dulu sakit kemudian"


HMS Abu Bakar
Mei2009

PENGHAKIMAN YANG BIJAK

I

Berita dari Putrajaya
Nizar berjaya
Masuk pejabat penuh bergaya
Kurniaan yang Maha Kaya
Mengeluh buaya buaya
Gagal rancangan jahat
Kesan solat hajat
Kesan doa rakyat
Setiakawan dalam P.R

II

Tahniah Hakim Mahkamah Tinggi
Keputusan patut dipuji
Tanda anda yang mengaji
Tanda anda bersih hati
Ini keputusan berkualiti
Rakyat nanti
Dengan debaran hati
Allah hanya perhati
Gerakgeri hambanya
Nizar lulus ujian
Setiap ucapan
Dimulai ayat-ayat Al-Quran
Hairan
Rakan-rakan DAP
Rakan-rakan PKR
Jiwa Nizar kuat
Senyumannya memikat
Banyak peminat
Peringkat negeri dan pusat

III

Tahniah Dato' Seri Ir. Mohd. Nizar bin Jamaludin
Terbukti anda penyabar
Kebaikan anda tersebar
Peminat di dalam dan di luar
Dibenci hanya yang mungkar
Sekarang mereka bertengkar
Semasa mereka
Pucat muka
Mereka sebenar penderhaka
Rakyat pasti tolak mereka
Tentu semasa pilihanraya
Pakatan Rakyat insyaAllah berjaya
Dalam DUN lebih bilangannya
Semua
Berpunca
Sembah derhaka
Mempertahankan hak rakyat
Letak jawatan diingkari
Kebajikan rakyat dicari
Keredhaan Allah dicari
Ini
Nizar mengerti
Kuliah subuhnya dinanti-nanti
Jemaah mengerti
Pimpinan Nizar berkualiti
Rakyat ketahui
Kebolehan Nizar terserlah
Kuat hubungan dengan Allah
Musuh Nizar pasti kalah
Percayalah
Janji Allah
Kemenangan kepada yang hak
Dengan P.R rakyat memihak
Memihak kepada Politik Baru
Kebaikan diseru
Kebajikan rakyat diutamakan
Keadilan dalam pemerintahan
Buat suruhan tinggal larangan
Ini disuruh Al-Quran
Petunjuk sepanjang zaman
Menjanji kejayaan di Hari Kemudian


HMS Abu Bakar
Mei2005

Sabtu, 9 Januari 2010

1 MUHARRAM HARI BERSEJARAH

I


Muqadimah
Peristiwa hijrah
Keadaan serba susah
Diintip rumah
Diawasi Muhammad Bin Abdullah
Dari golongan jiwa bermasalah
Dikuasai nafsu amarah
Berkembang biak di zaman jahiliah
Darah tumpah dengan mudah
Berfahaman asobiyah
Menyokong yang salah
Menindas rakyat bawahan
Menzalimi jenis Hawa

II

Waktu umur Nabi s.a.w
Mencapai lima puluh tiga tahun
Penindasan terus disusun
Abu Jahal bertindak macam penyamun
Nyawa Nabi s.a.w terancam
Perintah Allah Nabi s.a.w lebih faham
Keluar rumah waktu malam
Tanpa disedari pemuda-pemuda Quraisy

III

Perjalanan jauh
Ditemani Abu Bakar As-Sidik
Pertolongan Allah jelas dan nyata
Masyarakat Yathrib bersuka cita
Melihat Nabi s.a.w tiba
Melihat idola mereka

IV

Bermula zaman gilang-gemilang
Masyarakat yang kuat sembahyang
Muhajirin dan Ansar berkasih sayang
Islam terus berkembang
1 Muharram tetap dikenang
Oleh jiwa-jiwa Muslim yang tenang


HMS Abu Bakar
Jan2007

Jumaat, 8 Januari 2010

MAAL HIJRAH


I

Hidup berpandukan aqidah
Berdasarkan kalimah Taiyibbah
Allah disembah
Keyakinan bertambah-tambah
Lihat saja Siti Khadijah
Seorang perempuan
Berwawasan
Seorang hartawan
Pilih jadi teman
Seorang ihsan
Di Kota Mekah
Dikenali Al-Amin

II

Manusia mulia
Seantero dunia
Muhammad bin Abdullah
Dapat didikan Allah
Dapat mengatasi semua masalah
Diangkat menjadi Rasul di Mekah
Tiga belas tahun menegakkan aqidah
Bertunjangkan kalimah Taiyyibah
Bermula dengan Siti Khadijah
Diikuti
Ali bin Abu Talib
Abu Bakar As-Sidik
Zaid bin Harishah
Di rumah Abi Arqam berusrah
Umar bin Khattab menyerah
Bergema.........Allahuakbar

III

Mekah
Tempat tawaf umat jahiliah
Tiga ratus enam puluh patung
Tempat berbagai kabilah Arab bertembung
Setiap tahun
Dari Yathrib
Dari Nabi s.a.w berdakwah
Tertarik yang dapat hidayah
Dipilih Mus'ab bin Umair
Dijadikan duta ke Yathrib
Bertambah
Berkembang dakwah
Membesarkan Allah
Allahuakbar....Allahuakbar

IV

Setelah Siti Khadijah menemui Tuhan
Abu Talib dunia ditinggalkan
Berlaku goncangan
Berlaku kekosongan
Mahu Nabi s.a.w dihancurkan
Tiba-tiba datang arahan
Abu Bakar As-Sidik jadi teman
Dalam perjalanan
Dari Mekah ke Yathrib
Abu Bakar sahabat karib
Yakin pertolongan ghaib

VI

Tiba di Yathrib
Dengan sambutan hangat
Dipadukan sahabat-sahabat
Dari Muhajirin dan Ansar
Jadi umat yang besar
Berdaulat
Syariat
Yahudi berniat jahat
Yathrib menjadi Madinah
Yahudi dipaksa pindah
Kesan hijrah
Berdaulat hukum-hukum Allah

VII

Inilah hijrah
Inilah ikut Sunnah
Pimpinan beramanah
Dibuktikan sejarah


HMS Abu Bakar
Ogos2006

Rabu, 6 Januari 2010

SALASILAH SAYA

محمد صالح ابو بکر
I

Pada tahun 1875
Waktu darah Birch
Mengalir di Sungai Perak
Tok Ali
Datuk moyang saya
Berumur 34 tahun
Tok Ali 
seorang Pawang
Tok Ali rakan seangkatan
Datuk Sagor
Orang kenamaan
Qariah Kampung Gajah

II

Kampung Gajah
Berjiran dengan Pasir Salak
Orang Besar Pasir Salak
Bergelar
Datuk Maharajalela
Pancung Tak Bertanya
Sultan Perak yang beri kuasa

III

Sebelum W.W. Birch dibunuh
Datuk Sagor
Datuk Maharajalela
Tok Ali
Pandak Endut
Ada berbincang
Nyawa Residen Inggeris nampak tak panjang
Selesaikan selepas sembahyang

IV

Bila Birch mati dibunuh
Moyang saya berumur 12 tahun
Diberi nama Md Jais
Md Jais kesayangan bapanya
Tok Ali

V

Tok Ali seorang Bomoh
Tok Ali seorang Pawang
Tok Ali ahli silat
Sembahyang dia taat
Askar Inggeris dia berani tentang
Dengan keris
Dengan tombak
Dengan parang

VI

Penjajah Inggeris
Naik berang
Hantar askar-askar menyerang
Orang Melayu mati seorang demi seorang
Adat berjuang
Adakala kalah adakala menang
Yang penting
Lawan Penjajah Inggeris

VII

Darah Melayu tumpah
Di Pasir Salak, di Kampung Gajah
Angkara Inggeris mahu bijeh timah
Di Perak bumi bertuah
Tempat lahir ibu dan ayah

VIII

Anak Tok Ali
Enam semuanya
Md Jais yang tua
Jadi Pawang ternama
Digelar Tok Jais
Tok Jais ada 6 orang anak
Salah seorang opah saya
Nama gelaran Anjang Saejah
Nama sebenar Hajjah Rahmah

IX

Anjang Saerah
Bersuamikan Md Sood
Daripada perkahwinan ini
Lahir ayah saya
Abu Bakar

X

Ayahku berkahwin dengan ibuku
Bernama Teh binti Mat Isa
Di Kampung Gajah
Di tepi Sungai Perak

XI

Daripada perkahwinan ini
Lahir 14 orang anak
Yang keempat saya
Mohamed Salleh
64 tahun selepas Birch dibunuh


HMS Abu Bakar

PEMBUKA BICARA

Assalamualaikum.
Mengakui Allah berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu saya menceburkan diri dalam dunia siber bertetapan dengan tahun baru hijrah, 1431 dan tahun baru masihi 2010. Bertujuan untuk berdakwah untuk kebaikan umat manusia sejagat. Saya membawa kelainan dengan menggunakan puisi sebagai medium saya untuk berdakwah.