Jumaat, 15 Januari 2010

GEMA PUISI DI PERAK DARUL RIDZUAN

Boleh dikatakan hampir setiap malam kedengaran puisi yang saya deklamasikan di masjid dan surau setelah tamatnya kuliah agama oleh Ustaz Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz di merata tempat di Perak Darul Ridzuan. Sejak tahun 2006 saya bersama Ustaz Wan Ahmad Tarmizi Abdul Aziz menjelajah ke serata negeri Perak untuk berdakwah. Setelah selesai memberikan kuliah agama, beliau akan memberi laluan kepada saya untuk mendeklamasikan sajak mahupun puisi. Pada mulanya kebanyakkan AJK masjid dan surau kurang berminat dengan perlaksanaan puisi sebagai alat berdakwah namun setelah beberapa sesi, jemaah mula memberi respon yang baik terhadap pembacaan puisi di masjid mahupun surau. Saya sentiasa berusaha untuk menghasilkan puisi yang baik daripada sebelumnya untuk menarik lebih ramai peminat. Masjid Al-Aulia Tembok, Masjid Al-Ittihadiah, Kg. Tengku Hussein, Masjid INTIM, Masjid As-Syakirin, Kg. Tersusun Tasek dan Masjid Negeri, Ipoh merupakan antara tempat yang pernah menjadi platform untuk saya melontarkan pandangan melalui puisi di Ipoh. Saya juga selalu mendeklamasikan puisi-puisi saya di Surau Jalan Masyarakat, Silibin, Surau Al-Islamiyah Taman Meru 2C, Surau An-Nuriah 2B, Surau Meru Permai, Surau Al-Falah, Taman Chepor Indah, Surau Muhammadiah, JalanTiong, Masjid Lama Kg. Gajah, Masjid Al-Ridzuaniah, Kuala Kangsar, Masjid Lama, Kg Gelok, Lenggong, Masjid Kg Expo Kamunting, Masjid Setiawan, Masjid Jamek, Tapah dan Masjid Felda Gunung Besout 2.


PANTUN AWAL TAHUN 2010



Masak lemang gunakan buluh
Bila masak sedap dimakan
Selamat tahun dua ribu sepuluh
Semoga semua tugas ditunaikan


Buluh tumbuh di tepi bukit
Membiak subur tanpa baja
Biarpun harta hanya sedikit
Tapi Allah tetap dipuja


Bukit Gasing Bukit Melawati
Dua bukit di Negeri Selangor
Tanda hidup anda berkualiti
Melihat maksiat berani tegur


Negeri Selangor negeri maju
Sultannya ada darah Bugis
Bila tahu tempat dituju
Baru contohi Raja Balqis


Orang Bugis orang pelaut
Mengembara hingga ke tanah Melayu
Bila hati telah terpaut
Ikut saja kehendak wahyu


Laut tempat kapal berlayar
Mengangkut barang kesana kemari
Hutang Allah kena bayar
Dengan beramal setiap hari


Di sana sini kelihatan hijau
Warna merah diminati lembu
Aktiviti masjid munafik kacau
Maju Islam mereka cemburu


Lembu jantan lembu betina
Minat hanya makan rumput
Perasuah di akhirat pasti hina
Melihat Izrail jiwanya semput


Bila datang Malaikat Izrail
Menandakan nyawa manusia berakhir
Orang zalim pasti menggigil
Berdepan pencabut nyawa mahir

Semoga puisi kekal sebagai salah satu alat untuk berdakwah.

Ikan keli ikan puyu
Boleh membiak dalam sawah
Mudah bersatu dengan wahyu
Gunakan puisi untuk berdakwah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan