Rabu, 31 Disember 2014

PANTUN MUSUH PUN GERUN

Buah cempedak masak bergantung
Baru dimakan sedang layu
Orang beriman pasti beruntung
Elok jika disedari Melayu

Baru dimakan sedang layu
Sakit resdung menjadikan begitu
Elok jika disedari Melayu
Betul aqidah mudah bersatu

Sakit resdung menjadikan begitu
Cempedak masak tidak disedari
Betul aqidah mudah bersatu
Ilmu Tauhid pelengkap diri

Cempedak masak tidak disedari
Berlaku hanya jarang sekali
Ilmu Tauhid pelengkap diri
Mulai solat dengan usali

Berlaku hanya jarang sekali
Doa Qunut terlupa dibaca
Mulai solat dengan usali
Kepada Imam jangan dicerca

Doa Qunut terlupa dibaca
Solat Subuh tetap sah
Kepada Imam jangan dicerca
Kesan tarbiyah dari madrasah

Solat Subuh tetap sah
Bila tigabelas rukun ada
Kesan tarbiyah dari madrasah
Orang berilmu sentiasa waspada

Bila tigabelas rukun ada
Sahlah solat yang dilakukan
Orang berilmu sentiasa waspada
Yang penting isu kebaikan

Sahlah solat yang dilakukan
Lima kali sehari semalam
Yang penting isu kebaikan
Bermanfaat kepada umat Islam

Lima kali sehari semalam
Elok dilakukan secara berjemaah
Bermanfaat kepada umat Islam
Kesan pemimpin yang bermaruah

Elok dilakukan secara berjemaah
Boleh mengerunkan puak musuh
Kesan pemimpin yang bermaruah
Di Universiti tempat pelajar diasuh

Boleh mengerunkan puak musuh
Bila umat mengamalkan sunnah
Di Universiti tempat pelajar diasuh

Baru pemerintah zalim musnah


HMS ABU BAKAR


Selasa, 30 Disember 2014

PANTUN DIKUASAI ISTERI

Akar tunjang pagar selasih
Belulang kulit berisi serai
Rakyat mahu pemerintahan bersih
Baru masalah ekonomi terurai

Belulang kulit berisi serai
Serai tumbuh di tepi bukit
Baru masalah ekonomi terurai
Isu rasuah hendaklah diungkit

Serai tumbuh di tepi bukit
Tumbuh hijau tanpa baja
Isu rasuah hendaklah diungkit
Kaya kroni-kroni tanpa kerja

Tumbuh hijau tanpa baja
Boleh dijual dipasar tani
Kaya kroni-kroni tanpa kerja
Bertindak atas arahan bini

Boleh dijual dipasar tani
Dapat hasil secara halal
Bertindak atas arahan bini
Pergerakan suami sentiasa dikawal

Dapat hasil secara halal
Dapat menyara kehidupan keluarga
Pergerakan suami sentiasa dikawal
Orang dayus terlepas syurga

Dapat menyara kehidupan keluarga
Memang susah zaman inflasi
Orang dayus terlepas syurga
Bila berpidato penuh emosi

Memang susah zaman inflasi
Nilai ringgit semakin rendah
Bila berpidato penuh emosi
Rambut isteri terus terdedah

Nilai ringgit semakin rendah
Naik pula harga barang-barang
Rambut isteri terus terdedah
Musuh politiknya terus menyerang

Naik pula harga barang–barang
Harga rokok seringgit sebatang
Musuh politiknya terus menyerang
Partinya akan jatuh terlentang

Harga rokok seringgit sebatang
Penghisap tegar terus membeli
Partinya akan jatuh terlentang
Jadi pembangkang eloklah sekali

Penghisap tegar terus membeli
Dari berkotak kepada sebatang
Jadi pembangkang eloklah sekali

Bertaubat sebelum Izrail datang



HMS ABU BAKAR


Isnin, 29 Disember 2014

ELOKLAH BERDAMAI

I
Merajuk
Bagi pesara susah dipujuk


II
Merajuk
Bagi wargamas susah dipujuk


III
Merajuk
Dari majlis ilmu susah dipujuk
Sunnah Nabi jadi penunjuk
Lari dari perjuangan kerja terkutuk
Ingatlah Datuk
Bila terbatuk-batuk
Dalam kubur ular mematuk
Sajak ini bukan mengutuk
Tapi ingin perdamaian

Ingin kekalkan pesahabatan


HMS ABU BAKAR


Ahad, 28 Disember 2014

PANTUN IBLIS TERPEGUN


Wanita Malaysia pakai kebaya
Wanita Muslimah bertudung kepala
Kedua-dua nampak cukup bergaya
Satu saja dapat pahala

Wanita Muslimah bertudung kepala
Artis hijrah kelihatan anggun
Satu saja dapat pahala
Melihat ini iblis terpegun

Artis hijrah kelihatan anggun
Aktres muda tetap menawan
Melihat ini iblis terpegun
Masyarakat majmuk boleh berkawan

Aktres muda tetap menawan
Apa-apa watak boleh dilakukan
Masyarakat majmuk boleh berkawan
Bila wujud negara berkebajikan

Apa-apa watak boleh dilakukan
Tanda mereka serba boleh
Bila wujud negara berkebajikan
Mudah umat beramal soleh

Tanda mereka serba boleh
Asas utama ilmu pengetahuan
Bila wujud negara berkebajikan
Sesama rakyat berbelas kasihan

Asas utama ilmu pengetahuan
Dari peringkat fardhu Ain
Sesama rakyat berbelas kasihan
Berakhlak mulia bila beriman

Dari peringkat fardhu Ain
Mudah pula beramal ibadat
Berakhlak mulia bila beriman
Demokratik bila diberi mandat

Mudah pula beramal ibadat
Solat berjemaah setiap waktu
Demokratik bila diberi mandat
Baru rakyat cepat bersatu

Solat berjemaah setiap waktu
Lepas itu dengar kuliah
Baru rakyat cepat bersatu
Bebas pula dari rasuah

Lepas itu dengar kuliah
Kitab bernama Diplomasi Rasulullah
Bebas pula dari rasuah
Keadaan ini dirahmati Allah

Kitab bernama Diplomasi Rasulullah
Elok dibaca semua orang
Keadaan ini dirahmati Allah
Susahlah iblis hendak menyerang


HMS ABU BAKAR


Sabtu, 27 Disember 2014

SELAMAT PENGANTIN BARU (SYAZA & KHAIRUL)


Selamat Pengantin Baru
Diucapkan
Kepada
Syaza Binti Kamil
Muhammad Khairul Bin Hashim
Semoga bahagia sentiasa
Sambil “enjoy” ingat ibu dan ayah punya jasa
Doakan mereka selepas solat subuh
Dengan ini kuatlah tubuh
Boleh ulangi bila ada masa kelapangan
Buatlah suruhan jauhilah larangan
Berpandukan ilmu pengetahuan
Di Surau An-Nuriah ada majlis pengajian
Baru kehidupan ada panduan
Baru jodoh berkekalan
Bila kedua-dua pengantin seiring jalan
Rohani dan Jasmani dapat kepuasan
Di hari walimatul urus ini
27 Disember 2014
Di Taman Meru 2B
Diucapkan tahniah Nik dan family
Syaza dan Khairul akan berjuang
Melahirkan generasi pejuang:-
Ikan baung ikan seluang
Dalam sungai mudah berenang
Suami isteri banyak peluang

Malam pertama tetap dikenang


HMS ABU BAKAR

Jumaat, 26 Disember 2014

PANTUN MENANTI KESUSAHAN

Kiri jalan kanan jalan
Di tengah-tengah pohon mengkudu
Di Badar, Abu Jahal terkilan
Syurga pula terlepas dihidu

Di tengah-tengah pohon mengkudu
Mudah tumbuh di tepi hutan
Syurga pula terlepas dihidu
Menghisap rokok disuruh syaitan

Mudah tumbuh di tepi hutan
Ditanam pula kelapa sawit
Menghisap rokok disuruh syaitan
Kedengaran di rumah isteri cerewet

Ditanam pula kelapa sawit
Membawa hasil kepada negara
Kedengaran di rumah isteri cerewet
Beri tazkirah dengan segera

Membawa hasil kepada negara
Harga getah sekarang rendah
Beri tazkirah dengan segera
Ikut agama banyak faedah

Harga getah sekarang rendah
Hidup orang kampung susah
Ikut agama banyak faedah
Dengan ilmu amalan pun sah

Hidup orang kampung susah
Naik pula harga barang-barang
Dengan ilmu amalan pun sah
Hanya syaitan naik berang

Naik pula harga barang-barang
Tanda nilai wang menurun
Hanya syaitan naik berang
Membelanjakan duit macam Qarun

Tanda nilai wang menurun
Berlaku sekarang dinegara kita
Membelanjakan duit macam Qarun
Ditelan bumi habislah harta

Berlaku sekarang dinegara kita
Rakyat jelata papa kedana
Ditelan bumi habislah harta
Matinya Qarun cukup hina

Rakyat jelata papa kedana
Kaya-raya gerombolan kroni-kroni
Matinya Qarun cukup hina
Menentang kebenaran cukup berani

Kaya-raya gerombolan kroni-kroni
Dari kalangan parti asobiyah
Menentang kebenaran cukup berani

Menanti keadaan susah payah


HMS ABU BAKAR


Khamis, 25 Disember 2014

PANTUN TERLEPAS SYURGA

Kalau tuan pergi ke hulu
Kirimkan saya buah saga
Buat baik pemimpinlah dulu
Dengannya nasib rakyat terjaga

Kirimkan saya buah saga
Gugur ke bumi warnanya merah
Dengannya nasib rakyat terjaga
Kesan menghayati roh hijrah

Gugur ke bumi warnanya merah
Mudah dikutip yang bertemu
Kesan menghayati roh hijrah
Minat pula menuntut ilmu

Mudah dikutip yang bertemu
Terutamanya kanak-kanak sekolah
Minat pula menuntut ilmu
Dari Tauhid kenallah Allah

Terutamanya kanak-kanak sekolah
Hanya ada diluar bandar
Dari Tauhid kenallah Allah
Sedar cepatnya masa beredar

Hanya ada diluar bandar
Banyak terdapat tanah terbiar
Sedar cepatnya masa beredar
Rugi yang suka bersiar-siar

Banyak terdapat tanah terbiar
Tumbuh lalang dengan cepat
Rugi yang suka bersiar-siar
Melihat maksiat dosa pun dapat

Tumbuh lalang dengan cepat
Ditiup angin terus bergoyang
Melihat maksiat dosa pun dapat
Menyesal bila nyawa melayang

Ditiup angin terus bergoyang
Musim panas kelihatan kuning
Menyesal bila nyawa melayang
Dalam kubur berkekalan pening

Musim panas kelihatan kuning
Turun hujan hijau semula
Dalam kubur berkekalan pening
Semasa di dunia tandus pahala

Turun hujan hijau semula
Rumput di bawah tumbuh juga
Semasa di dunia tandus pahala
Rugi besar terlepas syurga

Rumput di bawah tumbuh juga
Bila dipotong nampak bersih
Rugi besar terlepas syurga
Dengan orang beriman tersisih


HMS ABU BAKAR

Rabu, 24 Disember 2014

TAN SRI ANI AROPE DALAM KENANGAN


Ani Arope
Terkenal di negara ini
Semasa hidupnya dia seorang yang berani
Berani kerana benar
Moto hidupnya:
Berkhidmat untuk negara
Berkhidmat untuk masyarakat
Berkhidmat untuk agama
Dengan sesiapapun Ani Arope boleh bekerjasama
Di waktu umur 82 tahun
Berakhir usianya
Banyak jasanya
Sayangnya lebih kepada orang-orang miskin
Dilaporkan Ani Arope membela 50 orang anak angkat
Dari berbagai latarbelakang
Dari berbagai bangsa
Tan Sri Ani Arope ingin berjasa
Selagi ada usia
Pada 20 Disember 2014
Berakhirlah hidupnya
Berdoa kita untuknya
Dimasukkan ke syurga
Tanam ubi di tepi paya
Tumbuh juga daun pegaga
Berdoa kita sedaya-upaya
Semoga Ani Arope di syurga


HMS ABU BAKAR

NENAM


I
Nenam
Sejenis buah tempatan
Baik untuk kesihatan
Berbuah di atas batang
Berbuah juga di pangkal pokok
Di paras tanah
Tumbuhnya
Tanpa baja
Biasanya dari tahi keluang
Dari hutan
Makan nenam menjaga kesihatan
Rupa nenam tak berapa cantik
Nenam bewarna hijau
Bila masak warnanya kekuningan
Memakannya kolestrol akan berkurangan
Sebab itu orang dulu
Orang-orang kampung
Jarang kena sakit jantung
Mereka berkebun
Mereka bersawah padi
Baik pula peribadi
Ikut pula Sunnah Nabi
Bermazhab Shafie

II
Imam Shafie rajin menulis
Mengarang kitab duduk dikerusi
Fahaman asobiyah disokong iblis
Dibiarkan mereka budaya korupsi

III
Bangun pagi elok bersenam
Lepas itu solat subuh
Banyak khasiat memakan nenam
Kurang kolestrol sihatlah tubuh


HMS ABU BAKAR



Selasa, 23 Disember 2014

PANTUN TERUS BERTAHAN


Ikan kembung ikan gelama
Sambil berenang mencari makanan
Melayu selamat ikut agama
Puak asobiyah pula berlainan

Sambil berenang mencari makanan
Sedar-sedar termasuk dalam pukat
Puak asobiyah pula berlainan
Mengkayakan kroni dan sukusakat

Sedar-sedar termasuk dalam pukat
Banyak tangkapan di lautan dalam
Mengkayakan kroni dan sukusakat
Merosakkan imej umat Islam

Banyak tangkapan di lautan dalam
Tokeh nelayan bermodal besar
Merosakkan imej umat Islam
Ucapan pimpinan ternyata kasar

Tokeh nelayan bermodal besar
Berbulan-bulan dalam laut
Ucapan pimpinan ternyata kasar
Menyesal bila tiba malaikat maut

Berbulan-bulan dalam laut
Bila mendarat banyak tangkapan
Menyesal bila tiba malaikat maut
Masuk syurga tiada harapan

Bila mendarat banyak tangkapan
Hasil jualan sangat memuaskan
Masuk syurga tiada harapan
Menanti seksa yang menyakitkan

Hasil jualan sangat memuaskan
Inilah untungnya pelaburan besar
Menanti seksa yang menyakitkan
Pukulan malaikat cukup kasar

Inilah untungnya pelaburan besar
Risiko rugi juga ada
Pukulan malaikat cukup kasar
Berita ini bukanlah propaganda

Risiko rugi juga ada
Inilah budaya dalam perniagaan
Berita ini bukanlah propaganda
Tapi datang dari Quran

Inilah budaya dalam perniagaan
Ada untung ada rugi
Tapi datang dari Quran
Bersihkan mulut dengan bersugi

Ada untung ada rugi
Perlu ada hanya kesungguhan
Bersihkan mulut dengan bersugi

Datang ujian terus bertahan


HMS ABU BAKAR


Isnin, 22 Disember 2014

SELAMAT HARIJADI KE 80

Hari Isnin
15 Disember 2014
Genap umur
Raja Ahmad Kamal Bin Raja Adnan
Nama glamournya Pak Engku
Seorang yang hatinya cintakan masjid
Mengikut Hadis Nabi s.a.w
“Sesiapa yang hatinya cintakan masjid dan selalu iktiqaf di masjid,
Ada harapan dapat naungan Araz di Padang Mahsyar”
Teruskan Pak Engku
Menghadiri majlis ilmu
Terutama di masjid Al-Ridzuaniah; Kuala Kangsar
Pahalanya besar
Belanja makan selepas kuliah
Ustaz Wan Ahmad Tarmizi
Selepas kuliah subuh pagi
Sabtu setiap minggu kedua
Selepas kuliah maghrib
Hari Sabtu minggu keempat
Sudah bertahun-tahun
Pak Engku biayai belanja
Makan yang disertai isteri tercinta
Sepasang kasih yang faham memahami
Cinta mereka kepada agama
Kesana kemari bersama
Masjid jadi stesen kedua mereka
Rakan-rakan jemaah di Masjid Al-Ridzuaniah
Mendoakan Pak Engku kekal berada dalam iman dan Islam;
Tanam ubi tanam keladi
Tanam pula ditepi paya
Teman-teman ucapkan Selamat Harijadi
Semoga dunia akhirat berjaya


HMS ABU BAKAR