Khamis, 25 Disember 2014

PANTUN TERLEPAS SYURGA

Kalau tuan pergi ke hulu
Kirimkan saya buah saga
Buat baik pemimpinlah dulu
Dengannya nasib rakyat terjaga

Kirimkan saya buah saga
Gugur ke bumi warnanya merah
Dengannya nasib rakyat terjaga
Kesan menghayati roh hijrah

Gugur ke bumi warnanya merah
Mudah dikutip yang bertemu
Kesan menghayati roh hijrah
Minat pula menuntut ilmu

Mudah dikutip yang bertemu
Terutamanya kanak-kanak sekolah
Minat pula menuntut ilmu
Dari Tauhid kenallah Allah

Terutamanya kanak-kanak sekolah
Hanya ada diluar bandar
Dari Tauhid kenallah Allah
Sedar cepatnya masa beredar

Hanya ada diluar bandar
Banyak terdapat tanah terbiar
Sedar cepatnya masa beredar
Rugi yang suka bersiar-siar

Banyak terdapat tanah terbiar
Tumbuh lalang dengan cepat
Rugi yang suka bersiar-siar
Melihat maksiat dosa pun dapat

Tumbuh lalang dengan cepat
Ditiup angin terus bergoyang
Melihat maksiat dosa pun dapat
Menyesal bila nyawa melayang

Ditiup angin terus bergoyang
Musim panas kelihatan kuning
Menyesal bila nyawa melayang
Dalam kubur berkekalan pening

Musim panas kelihatan kuning
Turun hujan hijau semula
Dalam kubur berkekalan pening
Semasa di dunia tandus pahala

Turun hujan hijau semula
Rumput di bawah tumbuh juga
Semasa di dunia tandus pahala
Rugi besar terlepas syurga

Rumput di bawah tumbuh juga
Bila dipotong nampak bersih
Rugi besar terlepas syurga
Dengan orang beriman tersisih


HMS ABU BAKAR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan