Ahad, 9 Ogos 2015

PANTUN BETUL KIBLAT

Banyak kelekatu terbang malam
Bersuka ria di dalam taman
Bila ilmu tauhid mendalam
Menjadi asas kekuatan iman

Bersuka ria di dalam taman
Berkumpul kanak-kanak selepas sekolah
Menjadi asas kekuatan iman
Bergantung harap kepada Allah

Berkumpul kanak-kanak selepas sekolah
Mencari rama-rama warna merah
Bergantung harap kepada Allah
Menolak asobiyah setelah berhijrah

Mencari rama-rama warna merah
Terbang rendah mencari madu
Menolak asobiyah setelah berhijrah
Betul aqidah asas bersatupadu

Terbang rendah mencari madu
Tabiat rama-rama waktu pagi
Betul aqidah asas bersatupadu
Baru diakhirat tidak rugi

Tabiat rama-rama waktu pagi
Berwarna-warni seluruh taman
Baru diakhirat tidak rugi
Ulama akhirat dijadikan teman

Berwarna-warni seluruh taman
Ramai pelancong datang melawat
Ulama akhirat dijadikan teman
Dimasa lapang banyak berselawat

Ramai pelancong datang melawat
Ke Pulau Pangkor Pulau Tioman
Di masa lapang banyak berselawat
Jadilah negara sentiasa aman

Ke Pulau Pangkor Pulau Tioman
Di kelilingi laut penuh ikan
Jadilah negara sentiasa aman
Menutup aurat bila bersukan

Di kelilingi laut penuh ikan
Sedang berenang termasuk pukat
Menutup aurat bila bersukan
Dalam harapan baru berpakat

Sedang berenang termasuk pukat
Berlaku sebegini setiap hari
Dalam harapan baru berpakat
Keredhaan Allah juga dicari

Berlaku sebegini setiap hari
Laungan azan memanggil bersolat
Keredhaan Allah juga dicari
Dengan kebenaran saja berkiblat



HMS Abu Bakar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan