Rabu, 12 Ogos 2015

PANTUN IKUT AGAMA

Gadis jelita dikata ayu
Bermain mata sewaktu menari
Kasihan kita melihat Melayu
Meminta-minta di bumi sendiri

Bermain mata sewaktu menari
Di depan pembesar didewan diIstana
Meminta-minta di bumi sendiri
Dari rasuah rumah dibina

Di depan pembesar di dewan di Istana
Di majlis jamuan makan tahunan
Dari rasuah rumah dibina
Menambah isteri ada keinginan

Di majlis jamuan makan tahunan
Datang pembesar berbagai negeri
Menambah isteri ada keinginan
Masalah mendatang cukup ngeri

Datang pembesar berbagai negeri
Menunjukkan kebesaran masing-masing
Masalah mendatang cukup ngeri
Mulut isteri pertama terlalu bising

Menunjukkan kebesaran masing-masing
Bertanjak dan memakai keris
Mulut isteri pertama terlalu bising
Hati madunya terus terguris

Bertanjak dan memakai keris
Menjadi kebanggaan orang dahulu
Hati madunya terus terguris
Diatas katil semuanya berlalu

Menjadi kebanggaan orang dahulu
Jika bermenantukan orang ternama
Diatas katil semuanya berlalu
Malam Jumaat tetap bersama

Jika bermenantukan orang ternama
Boleh mendapat banyak kemudahan
Malam Jumaat tetap bersama
Mandi wajib suatu kewajipan

Boleh mendapat banyak kemudahan
Ceritakan semasa berada di kedai kopi
Mandi wajib suatu kewajipan
Orang bujang hanya bermimpi

Ceritakan semasa berada di kedai kopi
Ramai rakan-rakan boleh dengar
Orang bujang hanya bermimpi
Dengan berpuasa nafsu dipagar

Ramai rakan-rakan boleh dengar
Cerita pengantin malam pertama
Dengan berpuasa nafsu dipagar
Selamat bila ikut agama


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan