Isnin, 10 Ogos 2015

PANTUN EKONOMI QARUN

Beli selayang ikan kembung
Sama siakap ikan kerisi
Hak dan batil pasti bertembung
Tentu kecundang puak korupsi

Sama siakap ikan kerisi
Di antara jenis ikan laut
Tentu kecundang puak korupsi
Menyesal bila datang malaikat maut

Di antara jenis ikan laut
Ada bawal dan pelata
Menyesal bila datang malaikat maut
Duit berbilion membawa dukacita

Ada bawal dan pelata
Sedap buat masak kari
Duit berbilion membawa dukacita
Dalam kubur seorang diri

Sedap buat masak kari
Makan tengahari bersama keluarga
Dalam kubur seorang diri
Kaki rasuah terlepas syurga

Makan tengahari bersama keluarga
Lepas itu solat zohor
Kaki rasuah terlepas syurga
Walaupun semasa didunia masyhur

Lepas itu solat zohor
Doakan kebaikan orang beriman
Walaupun semasa didunia masyhur
Dapat derma cukup lumayan

Doakan kebaikan orang beriman
Menaruh cita-cita harapan baru
Dapat derma cukup lumayan
Pihak SPRM jadi keliru

Menaruh cita-cita harapan baru
Kebajikan rakyat jadi keutamaan
Pihak SPRM jadi keliru
Hingga rakyat hilang kepercayaan

Kebajikan rakyat jadi keutamaan
Bila pimpinan berjiwa mut’mainah
Hingga rakyat hilang kepercayaan
Bila maklumat sebenar terdedah

Bila pimpinan berjiwa mut’mainah
Rakyat bawahan hidup selesa
Bila maklumat sebenar terdedah
Mengkayakan diri semasa berkuasa

Rakyat bawahan hidup selesa
Bila harga barangan turun
Mengkayakan diri semasa berkuasa
Ini budaya ekonomi Qarun



HMS Abu Bakar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan