Selasa, 11 Ogos 2015

PANTUN PIMPINAN DAYUS

Manis rasa kuih bahulu
Makan bersama seisi keluarga
Ada manusia muka tak malu
Isteri sendiri tak terjaga

Makan bersama seisi keluarga
Dapat sekali dalam sehari
Isteri sendiri tak terjaga
Jauh sekali mentadbir negeri

Dapat sekali dalam sehari
Semasa makan nasihat disampaikan
Jauh sekali mentadbir negeri
Duit rasuah selesa dimakan

Semasa makan nasihat disampaikan
Gunakan juga ayat-ayat Quran
Duit rasuah selesa dimakan
Rakyat bertamadun merasa hairan

Gunakan juga ayat-ayat Quran
Sejarah Nabi juga diceritakan
Rakyat bertamadun merasa hairan
Melihat penguasa menerima sogokan

Sejarah Nabi juga diceritakan
Pendengar perihatin dapat faedah
Melihat penguasa menerima sogokan
Aurat isteri tetap terdedah

Pendengar perihatin dapat faedah
Di dalamnya banyak pula pengajaran
Aurat isteri tetap terdedah
Menegurnya tidak ada keupayaan

Di dalamnya banyak pula pengajaran
Orang beriman berperanan utama
Menegurnya tidak ada keupayaan
Disebabkan lemah pegangan agama

Orang beriman berperanan utama
Contoh terbaik Imam Al-Ghazali
Disebabkan lemah pegangan agama
Berasmara macam merpati sejoli

Contoh terbaik Imam Al-Ghazali
Mengarang kitab didalam rumah
Berasmara macam merpati sejoli
Ekonomi rakyat pula lemah

Mengarang kitab didalam rumah
Termasyhur kitab Ehya Ulumuddin
Ekonomi rakyat pula lemah
Jarang makan ikan sardin

Termasyhur kitab Ehya Ulumuddin
Diterjemahkan keberbagai-bagai bahasa
Jarang makan ikan sardin
Hidup mewah pihak berkuasa


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan