Ahad, 31 Julai 2011

PANTUN ORANG BARAT PUN BERMINAT



 Padi segemal kepuk di hulu
   Sireh di hilir merakap junjungan
Kerja maaruf buatlah selalu
   Mengawal nafsu adalah perjuangan

Pokok terap tumbuh di bukit
   Belat berbanjar panjang ke hulu
Infakkan wang walaupun sedikit
   Menghapuskan dosa yang lalu

Pukul gendang bermain raga
   Raga dibawa dari muara
Dengan agama didiklah keluarga
   Datang Ramadhan hatipun gembira

Rumah kecil tiang seribu
   Rumah besar tiang sebatang
Dengan zikir kuatlah kalbu
   Kerja mungkar tetap ditentang

Sampan kotak hilir mudik
   Dayung patah galah sebatang
Penyokong maaruf manusia cerdik
   Kebejatan penzalim mereka tentang

Tebang buluh lalang berpaut
   Batang lurus dibuat titi
Warna kuning mengapa takut
   Tanda kotor di dalam hati

Air dalam bertambah dalam
   Hujan di hulu belumlah reda
Bila Barat minatkan Islam
   Gagal orientalis punya propaganda

Asap api embun berderai
   Patah galah haluan perahu
Perhimpunan BERSIH terpaksa bersurai
   Kebaikannya rakyat jelata tahu


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Syaaban1432/Jul2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan