Selasa, 11 Mac 2014

PANTUN PENGHUNI NERAKA


Rusa berjalan disangka kijang
Menyusur permatang makan bunga
Politik baru berjangka panjang
Membuka jalan menuju syurga

Menyusur permatang makan bunga
Bunga ditanam di tepi sawah
Membuka jalan menuju syurga
Semasa berkuasa menjauhi rasuah

Bunga ditanam di tepi sawah
Dalam sawah membiak ikan
Semasa berkuasa menjauhi rasuah
Kebajikan rakyat saja diutamakan

Dalam sawah membiak ikan
Ikan sepat ikan puyu
Kebajikan rakyat saja diutamakan
Ini digalakkan ajaran wahyu

Ikan sepat ikan puyu
Diantara jenis ikan darat
Ini digalakkan ajaran wahyu
Anti hadis muflis di akhirat

Diantara jenis ikan darat
Keli dan juga haruan
Anti hadis muflis di akhirat
Hanya menggunakan akal fikiran

Keli dan juga haruan
Mudah membiak dalam sawah
Hanya menggunakan akal fikiran
Menghina Nabi dianggap berdakwah

Mudah membiak dalam sawah
Sampai masa masuk belanga
Menghina Nabi dianggap berdakwah
Di akhirat pintu neraka ternganga

Sampai masa masuk belanga
Elok masak gulai tempoyak
Di akhirat pintu neraka ternganga
Menerima seksa sememangnya layak

Elok masak gulai tempoyak
Makan tengahari bersama keluarga
Menerima seksa sememangnya layak
Malang nasib tidak terhingga


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
J'Awal1435/Mac2014


Tiada ulasan:

Catat Ulasan