Selasa, 23 Februari 2010

PANTUN MESRA RAKYAT

Bunga tanjung mudah layu
Ditindih oleh pokok petola
Melayu bertamadun kerana wahyu
Mengerjakan maaruf dapat pahala

Ditindih oleh pokok petola
Tumbuh subur dengan baja
Mengerjakan maaruf dapat pahala
Dengan dakwah dibimbing remaja

Tumbuh subur dengan baja
Boleh diguna baja tradisional
Dengan dakwah dibimbing remaja
Keindahan Islam mudah kenal

Boleh diguna baja tradisional
Bila ditanam diri sendiri
Keindahan Islam mudah kenal
Rezeki halal saja dicari

Bila ditanam diri sendiri
Kurang sedikit kos kehidupan
Rezeki halal saja dicari
Pada Allah menaruh harapan

Kurang sedikit kos kehidupan
Bila cermat dalam perbelanjaan
Pada Allah menaruh harapan
Baru selamat di hari kemudian

Bila cermat dalam perbelanjaan
Dari pendapatan ada simpanan
Baru selamat di hari kemudian
Bila beramal ikut Al-Quran


Dari pendapatan ada simpanan
Cara mengurus kewangan terbaik
Bila beramal ikut Al-Quran
Di sisi tuhan maqam pun naik

Cara mengurus kewangan terbaik
Amalan kerajaan berjiwa rakyat
Di sisi tuhan maqam pun naik
Dikenang orang sepanjang hayat

Amalan kerajaan berjiwa rakyat
Dikawal harga barang tertentu
Dikenang orang sepanjang hayat
Dengan keadilan rakyat bersatu

Dikawal harga barang tertentu
Dasar ekonomi mesra rakyat
Dengan keadilan rakyat bersatu
Menumbangkan penzalim kena berpakat

Dasar ekonomi mesra rakyat
Hasil bersatu dalam kepelbagaiaan
Menumbangkan penzalim kena berpakat
Dengan iman dan persaudaraan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan