Khamis, 8 Januari 2015

PANTUN PIMPINAN BERAMANAH

Anak ikan dimakan ikan
Anak haruan dipangkal buluh
Menutup auratlah bila bersukan
Dengan ilmu; amalan disuluh

Anak haruan dipangkal buluh
Ditebang buluh dengan parang
Dengan ilmu; amalan disuluh
Kerana agama sanggup berperang

Ditebang buluh dengan parang
Gunakan buluh memasak lemang
Kerana agama sanggup berperang
Walaupun naik bulu remang

Gunakan buluh memasak lemang
Makan sewaktu berbuka puasa
Walaupun naik bulu remang
Membawa kebaikan dengan berkuasa

Makan sewaktu berbuka puasa
Di surau sesama rakan jemaah
Membawa kebaikan dengan berkuasa
Tanda pimpinan yang bermaruah

Di surau sesama rakan jemaah
Selepas itu solat Maghrib
Tanda pimpinan yang bermaruah
Persahabatan juga bertambah karib

Selepas itu solat Maghrib
Baca Quran secara kumpulan
Persahabatan juga bertambah karib
Dengan ilmu teranglan jalan

Baca Quran secara kumpulan
Dipimpin yang lebih alim
Dengan ilmu teranglah jalan
Bantu membantu sesama Muslim

Dipimpin yang lebih alim
Kemudian pula dibaca terjemahan
Bantu membantu sesama Muslim
Buat suruhan jauhi tegahan

Kemudian pula dibaca terjemahan
Baru faham kandungan Quran
Buat suruhan jauhi tegahan
Sama-sama dapat pengajaran

Baru faham kandungan Quran
Petunjuk sebenar untuk manusia
Sama-sama dapat pengajaran
Berbakti selagi ada usia

Petunjuk sebenar untuk manusia
Itulah Quran dan As-Sunnah
Berbakti selagi ada usia
Tanda pemimpin yang beramanah


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan