Rabu, 7 Januari 2015

PANTUN HIDUP BERKAT

Layang-layang terbang melayang
Hinggap seekor makan padi
Banyak berselawat tanda sayang
Kepada Nabi yang berbudi

Hinggap seekor makan padi
Padi pula sedang dituai
Kepada Nabi yang berbudi
Sesaat pun tidak pernah cuai

Padi pula sedang dituai
Sekarang pula pakai mesin
Sesaat pun tidak pernah cuai
Berdoa bila mendengar bersin

Sekarang pula pakai mesin
Hasil bersawah tentu lumayan
Berdoa bila mendengar bersin
Nasib rakan terus dilayan

Hasil bersawah tentu lumayan
Orang kampung lihat saja
Nasib rakan terus dilayan
Bergotong-royong cara bekerja

Orang kampung lihat saja
Mereka semua kekurangan modal
Bergotong-royong cara bekerja
Perlu pemimpin yang handal

Mereka semua kekurangan modal
Atasi dengan syarikat koperasi
Perlu pemimpin yang handal
Bebas pula dari korupsi

Atasi dengan syarikat koperasi
Menanam padi secara niaga
Bebas pula dari korupsi
Dapat menambah kebajikan keluarga

Menanam padi secara niaga
Secara komersil kata orang putih
Dapat membantu kebajikan keluarga
Berbaloi walaupun badan letih

Secara komersil kata orang putih
Dari perniagaan dapat keuntungan
Berbaloi walaupun badan letih
Wujud kezaliman berilah tentangan

Dari perniagaan dapat keuntungan
Boleh pula bayar zakat
Wujud kezaliman berilah tentangan
Baru kehidupan kita berkat

Boleh pula bayar zakat
Dapat kebaikan lapan golongan
Baru kehidupan kita berkat
Buat suruhan tinggal larangan


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan