Khamis, 29 Januari 2015

PANTUN ORANG TAWADHUK


Burung wak-wak warna udani
Ikan tapah di dalam kolam
Mari wujudkan masyarakat madani
Mudah jika ikut Islam

Ikan tapah di dalam kolam
Tenggelam timbul mencari makanan
Mudah jika ikut Islam
Para pendakwah memainkan peranan

Tenggelam timbul mencari makanan
Sedar-sedar termakan kail
Para pendakwah memainkan peranan
Pelaksanaan hudud bukanlah mustahil

Sedar-sedar termakan kail
Surirumah memasak kari
Pelaksanaan hudud bukanlah mustahil
Diterima rakyat yang bistari

Surirumah memasak kari
Dihidang makan tengah hari
Diterima rakyat yang bistari
Keredhaan Allah saja dicari

Dihidang makan tengah hari
Datang tetamu terus dijamu
Keredhaan Allah saja dicari
Kebenaran Islam akan ditemu

Datang tetamu terus dijamu
Solat zohor selepas itu
Kebenaran Islam akan ditemu
Baru hidup rakyat bermutu

Solat zohor selepas itu
Beramai-ramai pergi ke masjid
Baru hidup rakyat bermutu
Bila ikut ulama mujtahid

Beramai-ramai pergi ke masjid
Ambil wudhuk dari kolah
Bila ikut ulama mujtahid
Boleh selesai banyak masalah

Ambil wudhuk dari kolah
Air di dalam sentiasa penuh
Boleh selesai banyak masalah
Termasuk juga mandi junub

Air di dalam sentiasa penuh
Senang jemaah mengambil wudhuk
Termasuk juga mandi junub
Inilah budaya orang tawadhuk

Senang jemaah mengambil wudhuk
Kemudahan asas yang diperlukan
Inilah budaya orang tawadhuk
Perintah Allah semua diamalkan



HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan