Jumaat, 30 Januari 2015

PANTUN OTAK KALKATU


Anak balam di atas panggang
Anjing menyalak balik tempayan
Dosa di dunia akan ditanggung
Di akhirat pasti menerima balasan

Anjing menyalak balik tempayan
Pencuri mendengar cabut lari
Di akhirat pasti menerima balasan
Baru sedar kesilapan diri

Pencuri mendengar cabut lari
Barang curian jatuh ke tanah
Baru sedar kesilapan diri
Malangnya semua dah musnah

Barang curian jatuh ke tanah
Dijumpai kanak-kanak terus diambil
Malangnya semua dah musnah
Menyesal tak terhingga Qabil

Dijumpai kanak-kanak terus diambil
Dianggap semua ini rezeki
Menyesal tak terhingga Qabil
Dengan adiknya dia berdengki

Dianggap semua ini rezeki
Sambil berjalan sambil makan
Dengan adiknya dia berdengki
Sebab tertarik dengan kecantikan

Sambil berjalan sambil makan
Tiba di rumah solat berjemaah
Sebab tertarik dengan kecantikan
Berhadapan cobaan manusia lemah

Tiba di rumah solat berjemaah
Ayah sendiri jadi imam
Berhadapan cobaan manusia lemah
Melihat kecantikan terus tergamam

Ayah sendiri jadi imam
Solat zohor empat rakaat
Melihat kecantikan terus tergamam
Tanpa berfikir dosa pun dapat

Solat zohor empat rakaat
Makan nasi selepas itu
Tanpa berfikir dosa pun dapat
Taraf manusia berotak kalkatu

Makan nasi selepas itu
Berdoa ayah sebelum makan
Taraf manusia berotak kalkatu
Buat kerja sebelum difikirkan

Berdoa ayah sebelum makan
Bersyukur dapat pemberian Allah
Buat kerja sebelum difikirkan
Di akhirat menanti banyak masalah


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan