Isnin, 13 Oktober 2014

PANTUN MASYARAKAT SELAMAT


Ikan kembung ikan pelata
Mudah tersangkut dalam pukat
Melalui pantun boleh bercerita
Menumbangkan penzalim kena berpakat

Mudah tersangkut dalam pukat
Dipasang nelayan di lautan dalam
Menumbangkan penzalim kena berpakat
Memang disuruh oleh Islam

Dipasang nelayan dilautan dalam
Mencari rezeki yang kekal
Memang disuruh oleh Islam
Dengan berusaha dan bertawakkal

Mencari rezeki yang kekal
Menjadi bekalan untuk akhirat
Dengan berusaha dan bertawakkal
Tolak yang berjiwa keparat

Menjadi bekalan untuk akhirat
Asas utama ialah ilmu
Tolak yang berjiwa keparat
Menipu rakyat tak jemu-jemu

Asas utama ialah ilmu
Awal-awal agama mengenal Allah
Menipu rakyat tak jemu-jemu
Ekonomi merundum punca masalah

Awal-awal agama mengenal Allah
Beramal pula bila berilmu
Ekonomi merundum punca masalah
Berusahalah jangan merasa jemu

Beramal pula bila berilmu
Untuk akhirat yang abadi
Berusahalah jangan merasa jemu
Kepada negara menabur budi

Untuk akhirat yang abadi
Bahagia yang beramal soleh
Kepada negara menabur budi
Insha Allah Putrajaya akan beralih

Bahagia yang beramal soleh
Aqidahnya Ahli Sunnah Wal Jamaah
Insha Allah Putrajaya akan beralih
Dipimpin pimpinan yang beramanah

Aqidahnya Ahli Sunnah Wal Jamaah
Diakui benar oleh majoriti ummat
Dipimpin pimpinan yang beramanah
Nescaya masyarakat majmuk selamat

Diakui benar oleh majoriti ummat
Bermahzab Shafie orang di Malaysia
Nescaya masyarakat majmuk selamat
Baru bermakna panjang usia


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan