Rabu, 25 Julai 2012

PUISI HIKMAH AS-SYAFII



I

Jagalah hati dan hiaskan jiwa
Dengan budi dan akhlak mulia
Kelak hidupmu bahagia sentiasa
Dikenang dipuja tiada tercela

II

Jadilah engkau faqih dan sufi
Berpandu keduanya dalam diri
Kepada engkau aku nasihati
Kerana Allahku bersihkan hati
Si ahli fekah kasar jiwanya
Hatinya keras takwa tersisih
Si Sufi jahil hukum agama
Bagaimana mahu menjadi soleh

III

Kepada Waki aku mengadu
Betapa lemahnya daya hafalku
Beliau segera mengingatkan daku
Tinggalkan maksiat setiap waktu
Kepada diriku beliau berpesan
Ilmu pengetahuan cahaya daripada Tuhan
Sinaran terpadam dihembus kejahatan
Jiwa kegelapan tanpa suluhan

IV

Ku bunuh tamak dan haloba
Lalu tenang dan damai jiwaku
Selagi hatiku terasuh haloba
Diri terhina sepanjang waktu
Ku hidupkan semula sifat qana’ah
Tatkala jiwa dihiasi qana’ah
Terpelihara maruah dan harga diri
Jika haloba bersarang di hati
Subur berakar di dalam jiwa
Hidup tercela dikata dan dikeji
Terjatuh ke dalam lembah hina

V

Sesungguhnya Allah mempunyai hamba
Hamba yang cerdas lagi bijaksana
Mereka telah menceraikan dunia
Khuatir akan rosaknya agama

Mereka merenung hakikat dunia
Rupanya dunia cuma sementara
Bukan kediaman kekal selamanya
Bagi semua makhluk yang bernyawa

Dunia ini umpama segara
Amal yang salih ibarat bahtera
Tatkala mengenal dunia yang fana
Mereka berbekal untuk ke sana

VI

Insan yang warak bijak budiman
Sedar akan kealpaan dirinya
Betapa halnya orang dipedulikan
Sedangkan diri berlumur noda

Dia umpama pesakit yang menderita
Tidak peduli akan sengsara manusia
Betapa halnya memikirkan mereka
Sedangkan dirinya hidup merana



Petikan Dari Kertas Kerja
Ustaz Azmi bin Ahmad
Kolej Islam Darul Ridzuan
Mengenai ”Penyucian Jiwa Dalam Puisi”
Hikmah: Satu Tinjauan Menerusi
Dewan Al-Iman Al-Syafii”

Ramadan1433/Jul2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan