Selasa, 30 September 2014

PANTUN MARI BERPAKAT


Keluar rumah kutip pegaga
Sambil mengutip melihat burung
Ajarkan agama kepada keluarga
Bila memimpin tidaklah serong

Sambil mengutip melihat burung
Burung terbang menuju pokok
Bila memimpin tidaklah serong
Mudah menasihati penagih rokok

Burung terbang menuju pokok
Pokok rambai berbuah lebat
Mudah menasihati penagih rokok
Orang beramanah dipandang hebat

Pokok rambai berbuah lebat
Boleh dijual di pasar tani
Orang beramanah dipandang hebat
Berkata benar pula berani

Boleh dijual di pasar tani
Buah-buah lain ada dijual
Berkata benar pula berani
Dalam kubur akan disoal

Buah-buah lain ada dijual
Termasuk cempedak dan nangka
Dalam kubur akan disoal
Salah jawapan masuk neraka

Termasuk cempedak dan nangka
Harganya pula adalah berpatutan
Salah jawapan masuk neraka
Disebabkan di dunia ikut syaitan

Harganya pula adalah berpatutan
Warga buruh boleh membelinya
Disebabkan di dunia ikut syaitan
Terimalah balasan seksa selama-lamanya

Warga buruh boleh membelinya
Bekerja teruk gaji sedikit
Terimalah balasan seksa selama-lamanya
Keadaannya sakit demi sakit

Bekerja teruk gaji sedikit
Elok jika ada gaji minima
Keadaannya sakit demi sakit
Semasa di dunia tolak agama

Elok jika ada gaji minima
Nilai ringgit pula rendah
Semasa di dunia tolak agama
Kezaliman pemerintah pandang tak indah

Nilai ringgit pula rendah
Harga barang-barang pula meningkat
Kezaliman pemerintah pandang tak indah
Bacalah pantun senanglah berpakat


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan