Jumaat, 26 September 2014

PANTUN HADAPILAH UJIAN


Janda muda makan jamu
Waktu pagi mengayam tikar
Tuntut ilmu janganlah jemu
Dengannya tolak kerja mungkar

Waktu pagi mengayam tikar
Tikar berasal dari mengkuang
Dengannya tolak kerja mungkar
Inilah tugas seorang pejuang

Tikar berasal dari mengkuang
Perlengkap rumah orang kampung
Inilah tugas seorang pejuang
Keperluan rakyat perlu ditampung

Perlengkap rumah orang kampung
Berupa yang asasi saja
Keperluan rakyat perlu ditampung
Dengan muwujudkan sebanyak-banyak kerja

Berupa yang asasi saja
Tandas dan bilik mandi
Dengan mewujudkan sebanyak-banyak kerja
Tanda pemerintahan yang berbudi

Tandas dan bilik mandi
Mudah pula mengambil wuduk
Tanda pemerintahan yang berbudi
Didikan agama menjadikannya tawadhuk

Mudah pula mengambil wuduk
Sesekali mandi hadas besar
Didikan agama menjadikannya tawadhuk
Perjalanan hidup tidak tersasar

Sesekali mandi hadas besar
Solat di rumah pula berjemaah
Perjalanan hidup tidak tersasar
Dapat ilmu dengar ceramah

Solat di rumah pula berjemaah
Selesai solat beri tazkirah
Dapat ilmu dengar ceramah
Baru masa depan cerah

Selesai solat beri tazkirah
Surah Al-Asr sebagai rujukan
Baru masa depan cerah
Perkara-perkara kebajikan diutamakan

Surah Al-Asr sebagai rujukan
Allah bersumpah dengan masa
Perkara-perkara kebajikan diutamakan
Tanda bijak bila berkuasa

Allah bersumpah dengan masa
Sesungguhnya manusia dalam kerugian
Tanda bijak bila berkuasa
Sabar menghadapi segala ujian.


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan