Khamis, 12 Februari 2015

PANTUN MAKSIAT DIBENDUNG


Lebatnya hujan menjelang petang
Terbang kedidi arah telaga
Rakyat marhaen terpaksa berhutang
Membeli makanan untuk keluarga

Terbang kedidi arah telaga
Airnya bersih lagi sejuk
Membeli makanan untuk keluarga
Solat berjemaah hendaklah dipujuk

Airnya bersih lagi sejuk
Boleh digunakan untuk minuman
Solat berjemaah hendaklah dipujuk
Dengan ilmu kuatlah iman

Boleh digunakan untuk minuman
Disimpan dalam labu tanah
Dengan ilmu kuatlah iman
Bila memimpin tetap beramanah

Disimpan dalam labu tanah
Terkenal di Sayung, Kuala Kangsar
Bila memimpin tetap beramanah
Jauh pula dari tersasar

Terkenal di Sayung, Kuala Kangsar
Dijual labu berbagai jenis
Jauh pula dari tersasar
Betul aqidah semuanya manis

Dijual labu berbagai jenis
Boleh diguna sebagai hiasan
Betul aqidah semuanya manis
Dialam akhirat menerima balasan

Boleh diguna sebagai hiasan
Bagi peminat barang-barang antik
Dialam akhirat menerima balasan
Membawa kebaikan bila berpolitik

Bagi peminat barang-barang antik
Guna emosi dari akal
Membawa kebaikan bila berpolitik
Kepada Allah tetap bertawakal

Guna emosi dari akal
Begitu cara manusia bertindak
Kepada Allah tetap bertawakal
Yang mungkar dibuat tidak

Begitu cara manusia bertindak
Buat dulu fikir kemudian
Yang mungkar dibuat tidak
Ini tanda kuatnya iman

Buat dulu fikir kemudian
Dipeluk K-Pop di atas pentas
Ini tanda kuatnya iman
Sentiasa muhasabah pimpinan diatas

Dipeluk K-Pop di atas pentas
Gadis Melayu yang bertudung
Sentiasa muhasabah pimpinan di atas
Baru maksiat boleh dibendung


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan