Khamis, 26 Februari 2015

PANTUN HIDUP BERTAMADUN

Sedap sungguh buah nenas
Buat makan buka puasa
Pidato pejuang sentiasa bernas
Ditakuti oleh pemegang kuasa

Buat makan buka puasa
Solat maghrib tiga rakaat
Ditakuti oleh pemegang kuasa
Melalui reformasi rakyat berpakat

Solat maghrib tiga rakaat
Seorang Hafiz jadi imam
Melalui reformasi rakyat berpakat
Di penjara pun mereka tergamam

Seorang Hafiz jadi imam
Bacaannya meresapi dalam hati
Di penjara pun mereka tergamam
Lupa disoal bila mati

Bacaannya meresapi dalam hati
Air mata keluar tak disedari
Lupa disoal bila mati
Disana penyelamat susah dicari

Air mata keluar tak disedari
Mengingati pengorbanan Nabi Muhammad
Disana penyelamat susah dicari
Kecuali didunia banyak berselawat

Mengingati pengorbanan Nabi Muhammad
Berjuang dua puluh tiga tahun
Kecuali didunia banyak berselawat
Keampunan Allah mudah dipohon

Berjuang dua puluh tiga tahun
Bertapak Islam ditanah Arab
Keampunan Allah mudah dipohon
Bila memimpin boleh diharap

Bertapak Islam ditanah Arab
Bahasa Arab dipelajari ramai
Bila memimpin boleh diharap
Negara pun jadi aman damai

Bahasa Arab dipelajari ramai
Spain ditakluki Tariq Bin Ziyad
Negara pun jadi aman damai
Hidup manusia ikut syariat

Spain ditakluki Tariq Bin Ziyad
Membawa dua belas ribu tentera
Hidup manusia ikut syariat
Dialam akhirat hidup gembira

Membawa dua belas ribu tentera
Tujuh ratus tahun menguasai Andalusia
Dialam akhirat hidup gembira
Ikut Islam bertamadunlah manusia


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan