Sabtu, 7 November 2015

PANTUN ZIKIR AL-GHAZALI

Gulai kelisa sedap rasa
Berbuka puasa jadi juadahnya
Maju bangsa kerana bahasa
Pimpinan beriman rakyat percaya

Berbuka puasa jadi juadahnya
Makan beramai disurau terdekat
Pimpinan beriman rakyat percaya
Aktiviti dakwah jarang disekat

Makan beramai disurau terdekat
Solat Maghrib selepas itu
Aktiviti dakwah jarang disekat
Masyarakat setempat mudah bersatu

Solat Maghrib selepas itu
Baca Yaasin beramai-ramai
Masyarakat setempat mudah bersatu
Hidup pula bertambah damai

Baca Yaasin beramai-ramai
Diketuai imam yang berpengalaman
Hidup pula bertambah damai
Berpuasa dari kuatnya iman

Diketuai imam yang berpengalaman
Selepas itu ada tazkirah
Berpuasa dari kuatnya iman
Ambil iktibar peristiwa Hijrah

Selepas itu ada tazkirah
Didatangkan penceramah dari luar
Ambil iktibar peristiwa Hijrah
Berani menentang perkara mungkar

Didatangkan penceramah dari luar
Dibayar saguhati ala kadar
Berani menentang perkara mungkar
Baru pimpinan zalim sedar

Dibayar saguhati ala kadar
Hasil kutipan orang ramai
Baru pimpinan zalim sedar
Puak bertelagah akhirnya berdamai

Hasil kutipan orang ramai
Menderma duit untuk agama
Puak bertelagah akhirnya berdamai
Memajukan umat tugas bersama

Menderma duit untuk agama
Diurus jawatankuasa yang bermaruah
Memajukan umat tugas bersama
Akhirnya budaya mungkar punah

Diurus jawatankuasa yang bermaruah
Dipilih dua tahun sekali
Akhirnya budaya mungkar punah
Berkat zikir harian Al-Ghazali


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan