Rabu, 25 November 2015

PANTUN IKUT WAHYU

Pokok melati di tepi kali
Bunga raya di hujung desa
Bagai merpati dua sejoli
Hidup bahagia sepanjang masa

Bunga raya di hujung desa
Berwarna putih dan kuning
Hidup bahagia sepanjang masa
Bebas dari penyakit pening

Berwarna putih dan kuning
Di antara warna dalam pelangi
Bebas dari penyakit pening
Semoga diakhirat tidak rugi

Di antara warna dalam pelangi
Termasuk juga warna merah
Semoga diakhirat tidak rugi
Ambil iktibar dari hijrah

Termasuk juga warna merah
Sedap pula mata memandang
Ambil iktibar dari hijrah
Melihat menafik hati meradang

Sedap pula mata memandang
Tulisan Arab dalam Al-Quran
Melihat munafik hati meradang
Masuk neraka janganlah hairan

Tulisan Arab dalam Al-Quran
Jadi jawi ke bahasa Melayu
Masuk neraka janganlah hairan
Semasa di dunia tolak wahyu

Jadi jawi ke bahasa Melayu
Ada juga skrip rumi
Semasa di dunia tolak wahyu
Fahaman asobiyah susah dibasmi

Ada juga skrip rumi
Dari penjajah orang Inggeris
Fahaman asobiyah susah dibasmi
Hati mukmin tetap terguris

Dari penjajah orang Inggeris
Beratus tahun menjajah Malaya
Hati mukmin tetap terguris
Berjihadlah dengan sedaya-upaya

Beratus tahun menjajah Malaya
Bermula dari Perjanjian Pangkor
Berjihadlah dengan sedaya-upaya
Suatu hari penzalim tersungkur

Bermula dari Perjanjian Pangkor
Bertapak Inggeris di Tanah Melayu
Suatu hari penzalim tersungkur
Bila berjuang ikut wahyu

Bertapak Inggeris di Tanah Melayu
Birch dibunuh di Pasir Salak
Bila berjuang ikut wahyu
Hasad dengki mudah dielak


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan