Sabtu, 14 November 2015

PANTUN SISTEM KAPITALIS

Letak purdah atas sejadah
Pagi hari ke bilik mandi
Ku risik sudah ku pinang sudah
Nasib diri kahwin tak jadi

Pagi hari ke bilik mandi
Bawa tuala warna merah
Nasib diri kahwin tak jadi
Bakal isteri enggan berhijrah

Bawa tuala warna merah
Lap badan selepas menggunakannya
Bakal isteri enggan berhijrah
Dengan kemajuan Barat terpedaya

Lap badan selepas menggunakannya
Setelah berwudhuk pergi ke masjid
Dengan kemajuan Barat terpedaya
Diatasinya memerlukan seorang mujahid

Setelah berwudhuk pergi ke masjid
Solat berjemaah setiap waktu
Diatasinya memerlukan seorang mujahid
Dengan ilmu hidup pun bermutu

Solat berjemaah setiap waktu
Dimulai dengan solat subuh
Dengan ilmu hidup pun bermutu
Penyakit sosial boleh sembuh

Dimulai dengan solat subuh
Ujian getir bagi manusia
Penyakit sosial boleh sembuh
Baru kehidupan tidak sia-sia

Ujian getir bagi manusia
Bila harga barang-barang naik
Baru kehidupan tidak sia-sia
Akhlak pemimpin sentiasa baik

Bila harga barang-barang naik
Bererti nilai wang jatuh
Akhlak pemimpin sentiasa baik
Ekonomi negara tetap utuh

Bererti nilai wang jatuh
Berlaku apa dikatakan inflasi
Ekonomi negara tetap utuh
Kemelut sosial dapat di atasi

Berlaku apa dikatakan inflasi
Biasa dibawah sistem kapitalis
Kemelut sosial dapat di atasi
Bila ditolak hasutan iblis

Biasa di bawah sistem kapitalis
Gaji buruh kadang-kadang rendah
Bila ditolak hasutan iblis
Aurat wanita tidak terdedah


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan