Khamis, 26 November 2015

PANTUN MENANTI API

Berenang-renang anak tuntung
Disungai terpencil separas dada
Bukan senang mencari untung
Modal kecil ilmu pun tiada

Di sungai terpencil separas dada
Berenang ikan melawan arus
Modal kecil ilmu pun tiada
Urusan keluarga tidak terurus

Berenang ikan melawan arus
Tanpa disedari termasuk jala
Urusan keluarga tidak terurus
Jarang pula dapat pahala

Tanpa disedari termasuk jala
Tiba di pantai menanti pembeli
Jarang pula dapat pahala
Ulama akhirat berani perli

Tiba di pantai menanti pembeli
Dapat harga yang berpatutan
Ulama akhirat berani perli
Mendapat nasihat dari syaitan

Dapat harga yang berpatutan
Ikan baung diminati ramai
Mendapat nasihat dari syaitan
Mencari nikmat pergi Chengmai

Ikan baung diminati ramai
Sedap masak gulai tempoyak
Mencari nikmat pergi Chengmai
Dapat dosa yang banyak

Sedap masak gulai tempoyak
Menjadi kegemaran orang kampung
Dosa terkumpul sangatlah banyak
Seperti karam tiada pelampung

Menjadi kegemaran orang kampung
Duduk bersembang dikedai kopi
Seperti karam tiada pelampung
Dialam akhirat menanti api

Duduk bersembang dikedai kopi
GST jadi isu hangat
Dialam akhirat menanti api
Azabnya adalah amat sangat

GST jadi isu hangat
Menyusahkan ramai rakyat jelata
Azabnya adalah amat sangat
Dalam Hadis banyak cerita

Menyusahkan ramai rakyat jelata
Dasar ekonomi yang tempang
Dalam Hadis banyak cerita
Diakhirat penzalim tiada tempat menumpang


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan