Rabu, 18 November 2015

PANTUN PANJANG USIA

Gulai pelata sayur peria
Cencaru berinti berbuka puasa
Bibit cinta menjadi rahsia
Didalam hati cuma terasa

Cencaru berinti berbuka puasa
Makan bersama seisi keluarga
Didalam hati cuma terasa
Dengan ilmu agama dijaga

Makan bersama seisi keluarga
Balik cuti dihujung minggu
Didalam hati cuma terasa
Kedatangan cucu sedang ditunggu

Balik cuti dihujung minggu
Bawa menantu kali pertama
Kedatangan cucu sedang ditunggu
Sembilan bulan bukanlah lama

Bawa menantu kali pertama
Berasal dari Amerika Syarikat
Sembilan bulan bukanlah lama
Dalam rahim airmani melekat

Berasal dari Amerika Syarikat
Berketurunan dari bangsa Jerman
Dalam rahim airmani melekat
Mujurlah suaminya orang beriman

Berketurunan dari bangsa Jerman
Berhijrah selepas tamat peperangan
Mujurlah suaminya orang beriman
Buat suruhan tinggal larangan

Berhijrah selepas tamat peperangan
Jerman tewas ke tentera Bersekutu
Buat suruhan tinggal larangan
Eropah maju bila bersatu

Jerman tewas ke tentera Bersekutu
Diketuai oleh Great Britain
Eropah maju bila bersatu
Bahasa Inggeris jadi pemangkin

Diketuai oleh Great Britain
Juga menjajah Tanah Melayu
Bahasa Inggeris jadi pemangkin
Akhirnya budaya Nusantara layu

Juga menjajah Tanah Melayu
Sekarang diberi nama Malaysia
Akhirnya budaya Nusantara layu
K-Pop pula panjang usia


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan