Khamis, 12 November 2015

PANTUN DI KALANGAN MANUSIA

Berkain pelekat corak lama
Bajunya sutera cincinnya biasa
Berpakat-pakat usaha bersama
Memastikan negara aman sentosa

Bajunya sutera cincinnya biasa
Dipakai wanita berketurunan bangsawan
Memastikan negara aman sentosa
Berbagai bangsa elok berkawan

Dipakai wanita berketurunan bangsawan
Ada digelar sebagai raja
Berbagai bangsa elok berkawan
Kerana Allah bila bekerja

Ada digelar sebagai raja
Berasal dari kesultanan Melaka
Kerana Allah bila bekerja
Di alam akhirat terlepas neraka

Berasal dari kesultanan Melaka
Menjadi raja di Negeri Perak
Di alam akhirat terlepas neraka
Di syurga boleh minum arak

Menjadi raja di Negeri Perak
Kuala Kangsar jadi bandar diraja
Di syurga boleh minum arak
Di dunia hanya beramal saja

Kuala Kangsar jadi bandar diraja
Istana besarnya di Bukit Chandan
Di dunia hanya beramal saja
Sunnah Nabi dijadikan teladan

Istana besarnya di Bukit Chandan
Dekat dengan Masjid Ubudiah
Sunnah Nabi dijadikan teladan
Setiap waktu solat berjemaah

Dekat dengan Masjid Ubudiah
Tersergam indah diatas bukit
Setiap waktu solat berjemaah
Solat subuh jemaahnya sedikit

Tersergam indah diatas bukit
Ramai pelancong datang melawat
Solat subuh jemaahnya sedikit
Tanah perkuburan juga dilawat

Ramai pelancong datang melawat
Dari Korea dan Jepun
Tanah perkuburan juga dilawat
Dosa mereka minta diampun

Dari Korea dan Jepun
Dua negara termaju di Asia
Dosa mereka minta diampun
Tugas murni di kalangan manusia


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan