Jumaat, 12 Jun 2015

PANTUN LAYAK MEMIMPIN

Bunga kertas berwarna merah
Putih pula bunga tanjung
Kehadiran GST rakyat marah
Hanya kroni-kroni yang sanjung

Putih pula bunga tanjung
Gugur ke bumi waktu pagi
Hanya kroni-kroni yang sanjung
Sebenarnya rakyat yang rugi

Gugur ke bumi waktu pagi
Harum bau di sekililing pokok
Sebenarnya rakyat yang rugi
Untung pula tokeh rokok

Harum bau di sekeliling pokok
Datang kanak-kanak segera dipijak
Untung pula tokeh rokok
Disuruh merokok rakyat diajak

Datang kanak-kanak segera dipijak
Dari situ terus ke sekolah
Disuruh merokok rakyat diajak
Sedar usaha sebegini salah

Dari situ terus ke sekolah
Berjalan kaki setiap hari
Sedar usaha sebegini salah
Hanya ilmu penyelamat diri

Berjalan kaki setiap hari
Yang kaya menaiki kereta
Hanya ilmu penyelamat diri
Menjadi ulama sebagai cita-cita

Yang kaya menaiki kereta
Banyak kemudahan untuk belajar
Menjadi ulama sebagai cita-cita
Inilah tindakan yang wajar

Banyak kemudahan untuk belajar
Terutama yang duduk dibandar
Inilah tindakan yang wajar
Keburukan GST baru sedar

Terutama yang duduk dibandar
Berbagai-bagai kemudahan ada
Keburukan GST baru sedar
Memilih pemimpin kenalah waspada

Berbagai-bagai kemudahan ada
Sistem pengangkutan sangat memuaskan
Memilih pemimpin kenalah waspada
Baru kebajikan rakyat diutamakan

Sistem pengangkutan sangat memuaskan
Kemudahan lain juga banyak
Baru kebajikan rakyat diutamakan
Memimpin negara tentulah layak



HMS Abu Bakar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan