Jumaat, 27 November 2015

PANTUN SEMUANYA TENANG

Durian belanda tembikai madu
Terletak berpisah di bawah redup
Adat muda menanggung rindu
Senang susah tanggungan hidup

Terletak berpisah di bawah redup
Ditiup angin sepoi-sepoi bahasa
Senang susah tanggungan hidup
Bersabar seperti menghadapi puasa

Ditiup angin sepoi-sepoi bahasa
Datang dari arah laut
Bersabar seperti menghadapi puasa
Semoga beriman menanti maut

Datang dari arah laut
Hujan turun dengan lebatnya
Semoga beriman menanti maut
Masuk syurga bermakna berjaya

Hujan turun dengan lebatnya
Berlaku banjir ditanah rendah
Masuk syurga bermakna berjaya
Ikut Islam banyak faedah

Berlaku banjir ditanah rendah
Kanak-kanak berpeluang menaiki sampan
Ikut Islam banyak faedah
Dijamin selamat di masa hadapan

Kanak-kanak berpeluang menaiki sampan
Hendak berjalan airnya dalam
Dijamin selamat di masa hadapan
Bila beramalkan ajaran Islam

Hendak berjalan airnya dalam
Ikan berenang ke sana ke mari
Bila beramalkan ajaran Islam
Keredhaan Allah mudah dicari

Ikan berenang ke sana ke mari
Tenggelam timbul mengambil nafas
Keredhaan Allah mudah dicari
Azab neraka akan terlepas

Tenggelam timbul mengambil nafas
Nampak buih semacam cahaya
Azab neraka akan terlepas
Bidadari disyurga semua sebaya

Nampak buih semacam cahaya
Bila terkena lampu suluh
Bidadari disyurga semua sebaya
Harum bau walaupun berpeluh

Bila terkena lampu suluh
Nampak banyak ikan berenang
Harum bau walaupun berpeluh
Dalam syurga semuanya tenang


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan