Isnin, 16 November 2015

PANTUN BERANGAN-ANGAN

Anak beruk jangan diketuk
Mencari bala diri sendiri
Senduk dan periuk pun berantuk
Inikan pula suami isteri

Mencari bala diri sendiri
Bila berniaga buluh kasap
Inikan pula suami isteri
Disebabkan wang kasih sayang lesap

Bila berniaga buluh kasap
Beli mahal jual pula murah
Disebabkan wang kasih sayang lesap
Pantang ditegur terus marah

Beli mahal jual pula murah
Cara perniagaan kurang bijak
Pantang ditegur terus marah
Gambar pemimpin yang dipijak

Cara perniagaan kurang bijak
Ikut jiran melakukan perubahan
Gambar pemimpin yang dipijak
Datang GST menanggung kesusahan

Ikut jiran melakukan perubahan
Disebabkan ada perasaan dengki
Datang GST menanggung kesusahan
Duit dipoket tiada baki

Disebabkan ada perasaan dengki
Ke surau tak mahu datang
Duit dipoket tiada baki
Pandangan membina terus ditentang

Ke surau tak mahu datang
Kuliah agama memang diboikot
Pandangan membina terus ditentang
Berdepan isteri pula takut

Kuliah agama memang diboikot
Ke kelab malam ada keinginan
Berdepan isteri pula takut
Berpoligami tetap dalam fikiran

Ke kelab malam ada keinginan
Dipengaruhi iklan di tepi jalan
Berpoligami tetap dalam fikiran
Tanpa iman menanti penyesalan

Dipengaruhi iklan di tepi jalan
Usaha berterusan syarikat gergasi
Tanpa iman menanti penyesalan
Duit berlambak hasil korupsi

Usaha berterusan syarikat gergasi
Menawan hati para pelanggan
Duit berlambak hasil korupsi
Masuk syurga tetap berangan-angan



HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan