Selasa, 12 Mei 2015

PANTUN PIMPINAN BERBAKAT

Janda berhias makan jamu
Nampak sihat dan cantik
Elok hadir dimajlis ilmu
Jadi mantap bila berpolitik

Nampak sihat dan cantik
Berangan-angan nak kahwin lagi
Jadi mantap bila berpolitik
Berjemaah solat setiap pagi

Berangan-angan nak kahwin lagi
Kalau boleh duda kaya
Berjemaah solat setiap pagi
Mendoakan berubah kuasa diPutrajaya

Kalau boleh duda kaya
Anaknya pula sudah besar
Mendoakan berubah kuasa diPutrajaya
Supaya dasar pemerintah tak tersasar

Anaknya pula sudah besar
Baik dengan ibu tiri
Supaya dasar pemerintah tak tersasar
Pemimpin mesti kenal diri sendiri

Baik dengan ibu tiri
Lulus dalam bidang syariah
Pemimpin mesti kenal diri sendiri
Dapat pelajaran membaca Seerah

Lulus dalam bidang syariah
Dari Universiti Islam Antarabangsa
Dapat pelajaran membaca Seerah
Beramanah bila pegang kuasa

Dari Universiti Islam Antarabangsa
Datang pelajar berbagai negara
Beramanah bila pegang kuasa
Dosa pahala tetap diambil kira

Datang pelajar berbagai negara
Menimba ilmu untuk diamalkan
Dosa pahala tetap diambil kira
Rezeki halal saja dimakan

Menimba ilmu untuk diamalkan
Buat suruhan jauhi larangan
Rezeki halal saja dimakan
Baru amalan diterima Tuhan

Buat suruhan jauhi larangan
Menjadi budaya dalam masyarakat
Baru amalan diterima Tuhan
Wujud pimpinan yang berbakat

Menjadi budaya dalam masyarakat
Bantu membantu sesama rakyat
Wujud pimpinan yang berbakat
Beramal soleh sepanjang hayat


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan