Isnin, 4 Februari 2013

PANTUN MUSUH KITA





Pagi-pagi masuk ke hutan,
          Jumpa merbuk berkawan-kawan
Musuh manusia ialah syaitan,
          Dengan iman kita melawan

Buah ramunia dalam perahu,
Dibuat lauk asam cuka
Dengan ilmu barulah tahu
Ikut syaitan membawa ke neraka

Banyak rusa tanah seberang
Mati seekor tersula galah
Setiap saat syaitan menyerlah
Selamat yang ikut Rasulullah

Awan berlari di senja kala
Kelam hutan di tengah malam
Buat suruhan dapat pahala
Menerima rasuah dilarang Islam

Jalan berkawan pergi ke hulu
Sama sama membawa senjata
Membuat maksiat hendaklah malu
Cara halal kumpulkan harta

Gajah di hutan turun ke lembah
Makan rumput sekawan lembu
Hanya Allah saja disembah
Doakan pula ayah dan ibu

Kapal berlayar tiga negeri
Jumpa di laut naga berjuang
Keredhaan Allah kita cari
Jalan jihad infakkan wang

Anak rusa di dalam rimba
Mati direjam lembing sebilah
Elok boikot ekonomi riba
Ini bererti mentaati Allah

Ikan yu ikan sembilang
Mati ditikam dengan galah
Kerja maaruf jangan dihalang
Menentang mungkar disuruh Allah

Pergi mengail di laut Melaka
Dapat seekor ikan parang
Dengan ilmu syurga terbuka
Tolak pula pimpinan temberang

Kembang bunga di Taman Botani
Kembang sekuntum di dalam taman
Banyak kebaikan masyarakat madani
Negara kita jadi aman





HMS ABU BAKAR
Seniman Paksi Rakyat (Paksi)
paksalleh.blogspot.com
R'Awal1434/Feb2013



Tiada ulasan:

Catat Ulasan