Isnin, 20 April 2015

PANTUN PEMBUKA MATA

Memburu pelanduk dapat rusa
Rusa berwarna berputik-putik
Melalui politik dapat kuasa
Disokong yang otak cetek

Rusa berwarna berputik-putik
Bila disembelih dimakan dagingnya
Disokong yang otak cetek
Dengan ucapan mudah percaya

Bila disembelih dimakan dagingnya
Buat gulai masak kurma
Dengan ucapan mudah percaya
Perlu hanya beri kerjasama

Buat gula masak kurma
Makan berempat dalam talam
Perlu hanya beri kerjasama
Bersesuaian dengan ajaran Islam

Makan berempat dalam talam
Dikatakan ini Sunnah Nabi
Bersesuaian dengan ajaran Islam
Boleh perangi kafir harbi

Dikatakan ini Sunnah Nabi
Bila makan secara jemaah
Boleh perangi kafir harbi
Sekarang ini gunakan dakwah

Bila makan secara jemaah
Sambil makan sambil bersembang
Sekarang ini gunakan dakwah
Dengannya penzalim boleh tumbang

Sambil makan sambil bersembang
Perkara utama ialah GST
Dengannya penzalim boleh tumbang
Menentangnya rakyat bersatu hati

Perkara utama ialah GST
Cukai barangan dan perkhidmatan
Menentangnya rakyat bersatu hati
Dengan iman mendatangkan kekuatan

Cukai barangan dan perkhidmatan
Harga naik enam peratus
Dengan iman mendatangkan kekuatan
Ikatan syaitan boleh putus

Harga naik enam peratus
Sebenar-benarnya lebih dari itu
Ikatan syaitan boleh putus
Bila seluruh rakyat bersatu

Sebenar-benarnya lebih dari itu
Rakyat marhaen terus menderita
Bila seluruh rakyat bersatu
Isu GST pembuka mata

Rakyat marhaen terus menderita
Nilai ringgit terus menurun
Isu GST pembuka mata

Tentulah cepat penzalim turun


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan