Jumaat, 24 April 2015

PANTUN DATANGNYA CAHAYA


Indah taman tempat berhibur
Di tepi teluk pantai cahaya
Orang jahil berlagak takabur
Membodek untuk cepat kaya

Di tepi teluk pantai cahaya
Ramai pelancong datang berehat
Membodek untuk cepat kaya
Bila memimpin berniat jahat

Ramai pelancong datang berehat
Membawa makanan untuk keluarga
Bila memimpin berniat jahat
Pelaksanaan GST menaikkan harga

Membawa makanan untuk keluarga
Sambil makan sambil bersembang
Pelaksanaan GST menaikkan harga
Surirumah kekal berperasaan bimbang

Sambil makan sambil bersembang
Isu GST cerita utama
Surirumah kekal berperasaan bimbang
Menumbangkan penzalim tugas utama

Isu GST cerita utama
Kos kehidupan terus meningkat
Menumbangkan penzalim tugas utama
Pelbagai kaum boleh berpakat

Kos kehidupan terus meningkat
Cukai naik enam peratus
Pelbagai kaum boleh berpakat
Menumbangkan watak bernama Brutus

Cukai naik enam peratus
Rakyat jelata merasai bebannya
Menumbangkan watak bernama Brutus
Julius Caesar menjadi mangsanya

Rakyat jelata merasai bebannya
Naik harga berbagai barangan
Julius Caesar menjadi mangsanya
Mati dibunuh rakan seperjuangan

Naik harga berbagai barangan
Keluhan rakyat susah diatasi
Mati dibunuh rakan seperjuangan
Membelanya perlu semarakkan reformasi

Keluhan rakyat susah diatasi
Melalui BRIM bukan jalannya
Membelanya perlu semarakkan reformasi
Dari iman datanglah cahaya

Melalui BRIM bukan jalannya
Datang GST semua ditelannya
Dari iman datanglah cahaya
Seterusnya berusaha sehingga berjaya

Datang GST semua ditelannya
Duit BRIM perlu penambahan
Seterusnya berusaha sehingga berjaya

Semoga dikabulkan oleh Tuhan


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan