Selasa, 21 April 2015

PANTUN PERLUNYA IMAN

Simpan duit dalam peti
Bila banjir dihanyutkan air
Kata Mufti turunkan GST
Urusan agama tentulah mahir

Bila banjir dihanyutkan air
Dari hulu menuju muara
Urusan agama tentulah mahir
Hal hukum diambil kira

Dari hulu menuju muara
Berbagai jenis ikan membiak
Hal hukum diambil kira
 Baru rakyat tidak teriak

Berbagai jenis ikan membiak
Termasuk baung dan seluang
Baru rakyat tidak teriak
Majoriti Melayu kurang wang

Termasuk baung dan seluang
Sedap bila masak tempoyak
Majority Melayu kurang wang
Menerima BRIM golongan terbanyak

Sedap bila masak tempoyak
Lagi pedas lagi berselera
Menerima BRIM golongan terbanyak
Datang GST lenyap segera

Lagi pedas lagi berselera
Ada pula sambal belacan
Datang GST lenyap segera
Menunggu saja datangnya bantuan

Ada pula sambal belacan
Lepas makan solat zohor
Menunggu saja datangnya bantuan
Mengemis selagi ada umur

Lepas makan solat zohor
Di masjid tempat umat berjemaah
Mengemis selagi ada umur
Disebabkan pimpinan kurang amanah

Di masjid tempat umat berjemaah
Lima waktu sehari semalam
Disebabkan pimpinan kurang amanah
Berkekalan mundur umat Islam

Lima waktu sehari semalam
Solat berjemaah lebih pahala
Berkekalan mundur umat Islam
Boleh dianggap sebagai bala

Solat berjemaah lebih pahala
Selepas itu terus berjihad
Boleh dianggap sebagai bala

Mengatasinya perlu iman kuat


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan