Khamis, 15 Oktober 2015

PANTUN RAJIN MEMBACA

Ikan keli ikan puyu
Mudah membiak dalam sawah
Mari kembalikan maruah Melayu
Semarakkan Islam melalui dakwah

Mudah membiak dalam sawah
Berbagai jenis ikan darat
Semarakkan Islam melalui dakwah
Jadi ringan perkara berat

Berbagai jenis ikan darat
Haruan, sepat dan keli
Jadi ringan perkara berat
Dengan jihad syurga dibeli

Haruan, sepat dan keli
Senang dapat dengan menjala
Dengan jihad syurga dibeli
Betul aqidah mendatangkan pahala

Senang dapat dengan menjala
Bila berlebihan boleh dijual
Betul aqidah mendatangkan pahala
Rezeki diperolehi semuanya halal

Bila berlebihan boleh dijual
Menambahkan pendapatan seisi keluarga
Rezeki diperolehi semuanya halal
Menyediakan tapak untuk ke syurga

Menambahkan pendapatan seisi keluarga
Inilah cara hidup petani
Menyediakan tapak untuk ke syurga
Mudah melalui masyarakat madani

Menyediakan tapak untuk ke syurga
Ilmu pengetahuan menjadi asasnya
Mudah melalui masyarakat madani
Kuat iman insyaallah berjaya

Ilmu pengetahuan menjadi asasnya
Beramal ikut sunnah Nabi
Kuat iman insyaallah berjaya
Walaupun syaitan menyerang bertubi-tubi

Beramal ikut sunnah Nabi
Sumber utama ialah Quran
Walaupun syaitan menyerang bertubi-tubi
Golongan beriman mendapat kejayaan

Sumber utama ialah Quran
Disuruh umat rajin membaca
Golongan beriman mendapat kejayaan
Sabar menghadapi berbagai cerca

Disuruh umat rajin membaca
Dapat maklumat yang berguna
Sabar menghadapi berbagai cerca
Generasi Quran terus dibina


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan