Khamis, 8 Oktober 2015

PANTUN MERENDAH DIRI

Depan pelamin ramai yang hadir
Ada yang duduk di kanan kiri
Orang mukmin menerima takdir
Dengan tawaduk merendah diri

Ada yang duduk di kanan kiri
Di suatu majlis akad nikah
Dengan tawaduk merendah diri
Semua menghadap ke arah Mekah

Di suatu majlis akad nikah
Anak orang besar tempatan
Semua menghadap ke arah Mekah
Gagal yang dirancang syaitan

Anak orang besar tempatan
Dipotong pula seekor lembu
Gagal yang dirancang syaitan
Dalam filem tiada cumbu mencumbu

Dipotong pula seekor lembu
Beberapa kambing turut disembelih
Dalam filem tiada cumbu mencumbu
Boleh ditonton orang solih

Beberapa kambing turut disembelih
Masak kari dalam kawah
Boleh ditonton orang solih
Heronya berlaku sebagai pendakwah

Masak kari dalam kawah
Daun pegaga dijadikan ulam
Heronya berlaku sebagai pendakwah
Dengannya tersebar budaya Islam

Daun pegaga dijadikan ulam
Disediakan juga sambal tempoyak
Dengannya tersebar budaya Islam
Dipimpin ulama yang layak

Disediakan juga sambal tempoyak
Berselera semua yang makan
Dipimpin ulama yang layak
Kehendak ilmu semua diamalkan

Berselera semua yang makan
Termasuk tetamu pihak lelaki
Kehendak ilmu semua diamalkan
Jauh pula berhasrat dengki

Termasuk tetamu pihak lelaki
Waktu pula hampir zohor
Jauh pula berhasad dengki
Imam Al-Ghazali contoh tersohor

Waktu pula hampir zohor
Memang perut sedang keroncong
Imam Al-Ghazali contoh tersohor
Hujah falsafah Yunani dipancung


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan