Sabtu, 24 Ogos 2013

PANTUN MEMBAWA PAHALA




Pisang emas masak sebiji
Datang burung terus dimakan
Bertambah ilmu dengan mengaji
Selepas itu terus diamalkan

Buah langsat buah rambutan
Buah kegemaran orang Malaysia
Dengan membaca kuatlah ingatan
Beramal soleh bermaknalah usia

Pokok rambutan berbuah lebat
Mudah tumbuh di tepi rumah
Bila pemimpin takut berdebat
Ini tanda jiwanya lemah

Tanam serai di tepi pagar
Boleh tumbuh tanpa baja
Bila perintah Allah dilanggar
Arahan syaitan ikut sahaja

Pokok pulasan pokok rambutan
Bila masak berwarna merah
Bila ramai pengikut syaitan
Nyawa manusia jadi murah

Kecil kecil bermain api
Bila besar bermain saham
Masuk syurga hanya mimpi
Bila perkara yang haram dibaham

Air laut terasa masin
Membiak ikan pelbagai jenis
Bila hafal surah Yaasin
Beramal ibadat terasa manis

Air kabung air nira
Bila dimasak jadilah gula
Kebajikan rakyat ambillah kira
Baru berpolitik mendatangkan pahala



HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Syawal1434/Ogos2013

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan