Jumaat, 30 Ogos 2013

PANTUN HARAPAN PELAPIS



Dua kali lima sepuluh
Dua kali enam dua belas
Dengan ilmu amalan disuluh
Beramal pula tentulah ikhlas

Dua kali enam dua belas
Mula-mula belajar mengira
Beramal pula tentulah ikhlas
Perintah Allah buat segera

Mula-mula belajar mengira
Di tadika atau di PASTI
Perintah Allah buat segera
Dapat pahala bekalan mati

Di tadika atau di PASTI
Kanak kanak diajar agama
Dapat pahala bekalan mati
Kerja kebajikan dibuat bersama

Kanak-kanak diajar agama
Awal-awal agama mengenal Allah
Kerja kebajikan dibuat bersama
Boleh selesai banyak masalah

Awal-awal agama mengenal Allah
Ini dinamakan ilmu Tauhid
Boleh selesai banyak masalah
Bila negara dipimpin mujahid

Ini dinamakan ilmu Tauhid
Terkenal juga ilmu Usuluddin
Bila negara dipimpin mujahid
Terpelihara agama atau Ad-Deen

Terkenal juga ilmu Usuluddin
Boleh menguatkan pegangan aqidah
Terpelihara agama atau Ad-Deen
Ramai rakyat dapat faedah

Boleh menguatkan pegangan aqidah
Menjadi teras dalam Islam
Ramai rakyat dapat faedah
Bila fahaman Assabiyah tenggelam

Menjadi teras dalam Islam
Sumber utama ialah Al-Quran
Bila fahaman Assabiyah tenggelam
Hidup manusia penuh persaudaraan

Sumber utama ialah Al-Quran
Sunnah Nabi peringkat kedua
Hidup manusia penuh persaudaraan
Diberi penghormatan golongan tua

Sunnah Nabi peringkat kedua
Seterusnya Ijma’ dan Qias
Diberi penghormatan golongan tua
Dari pelapis yang ikhlas


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Syawal1434/Ogos2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan