Selasa, 30 Disember 2014

PANTUN DIKUASAI ISTERI

Akar tunjang pagar selasih
Belulang kulit berisi serai
Rakyat mahu pemerintahan bersih
Baru masalah ekonomi terurai

Belulang kulit berisi serai
Serai tumbuh di tepi bukit
Baru masalah ekonomi terurai
Isu rasuah hendaklah diungkit

Serai tumbuh di tepi bukit
Tumbuh hijau tanpa baja
Isu rasuah hendaklah diungkit
Kaya kroni-kroni tanpa kerja

Tumbuh hijau tanpa baja
Boleh dijual dipasar tani
Kaya kroni-kroni tanpa kerja
Bertindak atas arahan bini

Boleh dijual dipasar tani
Dapat hasil secara halal
Bertindak atas arahan bini
Pergerakan suami sentiasa dikawal

Dapat hasil secara halal
Dapat menyara kehidupan keluarga
Pergerakan suami sentiasa dikawal
Orang dayus terlepas syurga

Dapat menyara kehidupan keluarga
Memang susah zaman inflasi
Orang dayus terlepas syurga
Bila berpidato penuh emosi

Memang susah zaman inflasi
Nilai ringgit semakin rendah
Bila berpidato penuh emosi
Rambut isteri terus terdedah

Nilai ringgit semakin rendah
Naik pula harga barang-barang
Rambut isteri terus terdedah
Musuh politiknya terus menyerang

Naik pula harga barang–barang
Harga rokok seringgit sebatang
Musuh politiknya terus menyerang
Partinya akan jatuh terlentang

Harga rokok seringgit sebatang
Penghisap tegar terus membeli
Partinya akan jatuh terlentang
Jadi pembangkang eloklah sekali

Penghisap tegar terus membeli
Dari berkotak kepada sebatang
Jadi pembangkang eloklah sekali

Bertaubat sebelum Izrail datang



HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan