Rabu, 29 Oktober 2014

PANTUN PERTAHANKAN KAMPUNG WARISAN

Buah rambutan buah pulasan
Bila dikupas isinya putih
Wajib pertahankan kampung warisan
Istiqamah walaupun terasa letih

Bila dikupas isinya putih
Terasa lazat semasa dimakan
Istiqamah walaupun terasa letih
Semangat jihad perlu diteruskan

Terasa lazat semasa dimakan
Dengan meminum air segelas
Semangat jihad perlu diteruskan
Dengan syarat betul-betul ikhlas

Dengan meminum air segelas
Bila minum hilanglah dahaga
Dengan syarat betul-betul ikhlas
Membawa kebaikan kepada keluarga

Bila minum hilanglah dahaga
Terutama sewaktu berbuka puasa
Membawa kebaikan kepada keluarga
Dirasai juga pihak berkuasa

Terutama sewaktu berbuka puasa
Puasa wajib ataupun sunat
Dirasai juga pihak berkuasa
Bila reformasi ramai berminat

Puasa wajib ataupun sunat
Elok dilakukan secara berterusan
Bila reformasi ramai berminat
Mahu selamatkan kampung warisan

Elok dilakukan secara berterusan
Menghadirkan diri dimajlis ilmu
Mahu selamatkan kampung warisan
Berdoa janganlah jemu-jemu

Menghadirkan diri dimajlis ilmu
Bawa pen dan buku
Berdoa janganlah jemu-jemu
Semoga tindakan penzalim kaku

Bawa pen dan buku
Catat apa-apa yang berguna
Semoga tindakan penzalim kaku
Mudah masyarakat madani dibina

Catat apa-apa yang berguna
Dari Quran dan Sunnah
Mudah masyarakat madani dibina
Selamat kampung dari musnah

Dari Quran dan Sunnah
Dua pusaka peninggalan Nabi
Selamat kampung dari musnah
Hasil penentangan bertubi-tubi

Dua pusaka peninggalan nabi
Menjadi pedoman umat Islam
Hasil penentangan bertubi-tubi
Selamatlah Kampung Banda Dalam

Menjadi pedoman umat Islam
Tiangnya solat lima waktu
Selamatlah Kampung Banda Dalam
Bila warga prihatin bersatu

Tiangnya solat lima waktu
Dari masjid dilaungkan azan
Bila warga prihatin bersatu
Bangun bersama menentang kemungkaran

Dari masjid dilaungkan azan
Datang umat solat berjemaah
Bangun bersama menentang kemungkaran
Dipimpin imam yang beramanah

Datang umat solat berjemaah
Selepas maghrib ada kuliah
Dipimpin imam yang beramanah
Orang munafik saja gelisah

Selepas maghrib ada kuliah
Dikupas buku Diplomasi Rasulullah
Orang munafik saja gelisah
Mengancam Islam dizaman Madinah

Dikupas buku Diplomasi Rasulullah
Punca kejayaan Nabi Muhammad
Mengancam Islam dizaman Madinah
Dihadapi Nabi dengan cermat

Punca kejayaan Nabi Muhammad
Taat kepada perintah Allah
Dihadapi Nabi dengan cermat
Akhirnya puak Mushrikin kalah

Taat kepada perintah Allah
Menjadi kewajipan umat Islam
Akhirnya puak Mushrikin kalah

Dengannya tersebarlah budaya salam


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan