Khamis, 9 Oktober 2014

PANTUN HADAPILAH UJIAN


Pergi ke kebun tanam kopi
Tumbuh subur dengan baja
Semua ujian boleh dihadapi
Dengan Allah saja dipuja

Tumbuh subur dengan baja
Hasil dikutip boleh dijual
Dengan Allah saja dipuja
Dalam kubur bersedia disoal

Hasil dikutip boleh dijual
Secara runcit atau borong
Dalam kubur bersedia disoal
Bila aqidah tidak terpesong

Secara runcit atau borong
Ada dalam system perniagaan
Bila aqidah tidak terpesong
Dari Quran dapat panduan

Ada dalam sistem perniagaan
Baik sosialis atau kapitalis
Dari Quran dapat panduan
Dengannya menolak hasutan iblis

Baik sosialis atau kapitalis
Perlu kepada tenaga pekerja
Dengannya menolak hasutan iblis
Niat kerana Allah sahaja

Perlu kepada tenaga pekerja
Diberi gaji yang berpatutan
Niat kerana Allah sahaja
Bersedia menghadapi pujukan syaitan

Diberi gaji yang berpatutan
Dapat menampung kos kehidupan
Bersedia menghadapi pujukan syaitan
Kepada Allah bergantung harapan

Dapat menampung kos kehidupan
Harga barang-barang terus meningkat
Kepada Allah bergantung harapan
Baru maksiat dapat disekat

Harga barang-barang terus meningkat
Rakyat bawahan sentiasa mengeluh
Baru maksiat dapat disekat
Dengan ilmu amalan disuluh

Rakyat bawahan sentiasa mengeluh
Bila nilai wang rendah
Dengan ilmu amalan disuluh
Baru negara dapat faedah

Bila nilai wang rendah
Rakyat perlu banyak bersabar
Baru negara dapat faedah
Dakwah Islamiah perlu disebar

Rakyat perlu banyak bersabar
Bila lemah ekonomi negara
Dakwah Islamiah perlu disebar
Perintah Allah dibuat segera

Bila lemah ekonomi negara
Rakyat mengharapkan bantuan kerajaan
Perintah Allah dibuat segera
Sabar menghadapi segala ujian.


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan