Khamis, 20 November 2014

PANTUN JIWA MUT’MAINAH


Makan emping bergurau senda
Makan bersantan gula kelapa
Buat baik elok berpada-pada
Beribadat jangan pula lupa

Makan bersantan gula kelapa
Makan bersama seisi keluarga
Beribadat jangan pula lupa
Di akhirat berpeluang masuk syurga

Makan bersama seisi keluarga
Dilakukan setiap minggu sekali
Di akhirat berpeluang masuk syurga
Maksiat dulu tetap disesali

Dilakukan setiap minggu sekali
Tetap hadir di majlis ilmu
Maksiat dulu tetap disesali
Beramal soleh tidak jemu-jemu

Tetap hadir di majlis ilmu
Keluarga juga ikut sama
Beramal soleh tidak jemu-jemu
Memang dituntut oleh agama

Keluarga juga ikut sama
Menuntut ilmu ke mana saja
Memang dituntut oleh agama
Allah saja yang dipuja

Menuntut ilmu ke mana saja
Bertambah yakin kebenaran Islam
Allah saja yang dipuja
Solat berjemaah setiap malam

Bertambah yakin kebenaran Islam
Sumbernya Al-Quran dan Hadis
Solat berjemaah setiap malam
Ikut serta anak gadis

Sumbernya Al-Quran dan Hadis
Dua pesaka peninggalan Nabi
Ikut serta anak gadis
Beramal soleh jadikan hobi

Dua pesaka peninggalan Nabi
Didakwahkan oleh ulama muktabar
Beramal soleh jadikan hobi
Syarat utama ialah sabar

Didakwahkan oleh ulama muktabar
Contoh terbaik Imam Al-Ghazali
Syarat utama ialah sabar
Dengan jihad syurga dibeli

Contoh terbaik Imam Al-Ghazali
Seorang ulama yang beramanah
Dengan jihad syurga dibeli
Disebabkan ada jiwa mut’mainah.



HMS ABU BAKAR







Tiada ulasan:

Catat Ulasan